MASHUDI BIN KHAILANI
PENGETUA
SMK BANDAR RINCHING.SEMENYIH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Karamah Insaniah dan Salam Anak Yang Baik lagi Cerdik Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, Buku Pengurusan dan Pentadbiran SMK Bandar Rinching (SEMEKAR) Sesi Akademik 2024/2025 dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Buku ini merupakan dokumen penting sebagai panduan dan rujukan kepada semua warga SEMEKAR dalam bidang Pengurusan, Kurikulum, Hal Ehwal Murid, Kokurikulum dan Program Pendidikan Khas Integrasi.
Sepanjang Sesi Akademik 2024/2025, marilah kita semua warga pendidik SEMEKAR meneruskan perjuangan menggalas amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita untuk membimbing dan mendidik putera puteri SEMEKAR menjadi modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia berasaskan 5B iaitu Beragama, Berakhlak, Berinovatif, Berilmu dan Beramal.
Bermula tahun 2023, konsep “Karamah Insaniah” merupakan satu konsep yang diperkenalkan dan ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Konsep ini menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kemahiran karamah insaniah merujuk kepada kemahiran yang berkaitan dengan pembangunan diri dan kemahiran interpersonal. Bagi mendukung hasrat konsep ini, slogan ABC – “Anak Yang Baik Lagi Cerdik” lazim diungkapkan dalam kalangan warga pendidik dari pelbagai lapisan. Ia bukan sahaja memfokuskan kepada kaedah untuk melahirkan murid yang cerdik semata-mata tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik. Melalui konsep ABC, murid-murid kini dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai pewaris negara di masa hadapan.
Justeru, saya sangat berharap penerbitan buku ini menjadi pemangkinan kebersamaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan seperti yang termaktub melalui penubuhan jawatankuasa kerja merangkumi pelbagai bidang demi mencapai hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Semoga dengan adanya buku ini kita dapat mentadbir sekolah dengan baik, mantap dan dapat membina ukhuwah serta menyatu padukan semua warga sekolah dalam menguruskan usaha membentuk pewaris negara yang beradab mulia dan berintektual. Sifat amanah, fatonah (bijaksana), tabligh (menyampaikan) dan siddiq (bersifat benar) merupakan prinsip penting dalam bekerja yang perlu kita teruskan bagi memacu SEMEKAR Terbilang. Buku ini seharusnya dijadikan sebagai rujukan utama dalam meningkatkan kualiti tugas masing-masing melalui perancangan, penyusunan dan pelaksanaan kerja yang lebih teratur.
Jutaan terima kasih dan syabas diucapkan kepada AJK Buku Pengurusan dan Pentadbiran Sesi Akademik 2024/2025, guru-guru dan staf SEMEKAR yang telah memberikan kerjasama jitu sehingga buku ini dapat diterbitkan. Akhir sekali, saya mengucapkan selamat menjalankan tugas dalam satu pasukan dengan penuh amanah, jujur, ikhlas dan kesyukuran. Semoga segala usaha bakti kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT dalam usaha melonjakkan kecemerlangan putera puteri sekolah kita dengan semangat “Tekad Berjuang SEMEKAR Terbilang”.
Sekian, terima kasih.
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menjalankan amanah,
MASHUDI BIN KHAILANI
Pengetua
Sekolah Men Keb Bandar Rinching
08 Mac 2024