Carta Organisasi Sejarah Sekolah Lencana Sekolah Lagu Sekolah Lokasi Sekolah
SEJARAH SEKOLAH
SEJARAH SEKOLAH SMK TENGKU TEMENGGONG AHMAD
Sejarah penubuhan
SMK Tengku Temenggong Ahmad telah ditubuhkan pada tahun 1965, hasil permintaan penduduk setempat kerana ketiadaan sekolah menengah yang lain semasa itu di kawasan berhampiran. Pada awal penubuhannya, pelajar sekolah ini terpaksa menumpang di bangunan sekolah berhampiran disebabkan peroses pembinaannya yang belum siap. Antara sekolah yang pernah ditumpangi ialah, SRK Gersik (1965), SRJK (C) Kung Yu Kundang Ulu (1966) dan SRK Sri Jaya Bukit Serampang.
Pada tahun 1967, sekolah ini telah menggunakan bangunannya sendiri dan diberi nama Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad mengambil sempena nama Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Ahmad, iaitu Pesuruhjaya Kerajaan Muar (1929-1939). Sekolah ini terletak kira-kira 40 km dari bandar Muar iaitu di Pekan Kundang Ulu, berhampiran dengan tebing Sungai Muar dan 25 km dari bandar Tangkak. Keluasan kawasan sekolah ialah 8E.2R 23P di lot bernombor 4729. Hak milik tanah ialah kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Alam persekitarannya dikelilingi kawasan pertanian seperti pokok kelapa sawit dan pokok getah mencerminkan latar belakang para pelajar luar bandar. Dengan kewujudan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan telefon menjadikan SMKTTA sebagai tempat yang mudah untuk dihubungi dan tumpuan untuk masyarakat setempat menjalankan aktiviti dari semasa ke semasa.
Perkembangan awal
Sejak penubuhannya, SMKTTA telah mengalami arus perkembangan yang menggalakkan dari segi pertambahan guru-guru, kakitangan, pelajar-pelajar serta kemudahan fizikal untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan sesuai dengan kemajuan bidang pendidikan negara.
Pada 1987 sebuah lagi bangunan ditambah berikutan pertambahan pelajar dan keperluan pengajaran dan pembelajaran. Sebagai impaknya, SMKTTA telah pun memperoleh beberapa kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum sama ada di peringkat daerah mahupun negeri. SMKTTA juga dapat melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya baik di sektor awam, swasta mahupun bekerja sendiri.
Perkembangan masa kini
Sehingga 2020 SMKTTA memiliki tujuh buah bangunan yang menempatkan kelas-kelas, makmal sains, makmal komputer, bangkel kemahiran hidup, perpustakaan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik Matematik, bilik kesihatan, bilik seminar, bilik Al-Biruni, bilik wakaf Ibnu Rusy, Galeri Sejarah Kundang Ulu, dan bilik-bilik khas lain. Di samping itu SMKTTA juga mempunyai kemudahan surau, surau pelajar lelaki, bilik PIBG/PIBK, kantin dan sebuah dewan terbuka ( Dewan Seri Temenggong ) untuk kemudahan bagi warganya. Dengan kemudahan tersebut sedikit sebanyak
menjadi penyumbang kepada persekitaran yang kondusif bagi warga SMKTTA khususnya pelajar dan warga pendidik serta masyarakat amnya, seiring dengan kepesatan dan perubahan dunia pendidikan pada hari ini. Seiring dengan keperluan pelajar yang mengambil mata pelajaran Seni Visual mulai 2017 di peringkat peperiksaan STPM, sebuah bilik Seni telah berjaya disediakan bagi kemudahan pelajarpelajar selain menjadi bilik pameran hasil seni mereka.
PENGETUA SMKTTA
01. 1965-1966 En Khalil bin Mohamad
02. 1966-1972 Tn Hj Ali bin Azhari
03. 1972-1973 En Akasah bin Hj Abd Manan
04. 1973-1979 En Abdullah bin Mian
05. 1979-1981 En Abd Rahim bin Omar
06. 1981-1988 En Abd Rahim bin Ahmad
07. 1988-1990 Tn Hj Mohd Yassin bin Md Nor
08. 1990-1997 Tn Hj Ali bin Sukar
09. 1997-1999 Tn Hj Saman bin Sariff
10. 1999-2000 En Saibi bin Ibrahim
11. 2000-2001 Tn Hj Malek bin Mohamed
12. 2001-2005 Tn Hj Wagiman bin Shariff
13. 2005-2011 Tn Hj Suradi bin Sarikon
14. 2011-2014 Tn Hj Abd Sukor bin Salikin
15. 2014-2015 En. Mustaffa Ma'rof
16. 2015- 2018 En Abd Rahman Selamat
17. 2018 - 2020 En Rasyidi bin Mohd Dom
18. 2020 - Pn Tuminah bte Baharom