ASK merupakan kesinambungan mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang telah diperkenalkan kepada murid di sekolah rendah dan menggantikan program Information and Communication Technology Literacy (ICTL) sekolah menengah yang telah dilaksanakan mulai tahun 2007.
Dalam abad ke-21, murid bukan hanya bertindak sebagai pengguna teknologi yang berpengetahuan malah menyediakan mereka ke arah pencipta teknologi dan pencetus idea baharu.
Selaras dengan hasrat untuk melahirkan murid yang mempunyai kemahiran berfikir seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), mata pelajaran ASK diperkenalkan agar murid diajar tentang prinsip-prinsip asas dan konsep pembinaan teknologi digital supaya menjadi individu yang mempunyai pemikiran komputasional serta memahami bahawa teknologi digital pada hari ini mampu menyelesaikan masalah masa hadapan.
KSSM ASK bermatlamat untuk menyediakan murid dengan pengetahuan dan kemahiran pemikiran komputasional. Kemahiran ini dapat melengkapkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran asas sains komputer yang merangkumi kemahiran pengaturcaraan dan algoritma bagi melahirkan murid yang kreatif, inovatif, dinamik dan beretika dalam mengamalkan budaya TMK.