APA ITU GAHARU?
APA ITU GAHARU?
Gaharu dipercayai pertama terhasil di Assam, India yang bermula pada Tamadun Awal Lembah Ganges. Gaharu juga telah digunakan pada zaman Firaun, 3000 tahun sebelum masihi. Terdapat catatan China telah mengimport gaharu daripada semenanjung Malaysia dibawah Dinasti Ming. Pelabuhan Selat Melaka juga telah merekodkan perdagangan gaharu pada tahun 1411.
Pelbagai agama didunia seperti Islam, Kristian dan Buddha juga menyebut tentang gaharu. Dari segi geografi, penggunaan gaharu tertinggi adalah di Timur Tengah dan Asia Tengah. Gaharu bukan sahaja digunakan untuk keagamaan, tetapi juga sebagai wangian dan perubatan. Gaharu juga turut digunakan bagi mewangikan Kaabah dan disapu pada Hajarul Aswad.
Gaharu secara mudah difahami adalah bahagian kayu berwarna gelap yang berbau wangi dan terhasil di dalam Pokok Karas akibat jangkitan kulat. Pokok akan cuba melawan jangkitan kulat ini dan proses kimia yang terjadi didalam pokok akan menghasilkan gaharu.
Secara lebih terperincinya, gaharu terjadi akibat daripada tindak balas pokok karas ke atas serangan kulat/ fungus/ bakteria terhadap luka, retakan atau jangkitan penyakit. Pokok yang diserang merembeskan sejenis oleoresin (minyak+resin) bagi melindungi bahagian pokok yang tercedera sama ada pada akar, batang, dahan dan sebagainya di mana oleoresin ini lama kelamaan akan mengeras. Oleo resin ini mengandungi bahan sari yang wangi dikenali sebagai Gaharu.
Gaharu dikenali dengan pelbagai nama di seluruh dunia seperti :
Hindi – agar, berasal dari perkataan Sanskrit “aguru
Barat – agarwood, aloeswood, eaglewood
Thai – “Mai Kritsana” (ไม้กฤษณา)
Cina – chénxiāng (沉香)
Vietnam – trầm hương
Jepun – jinkō (沈香)
Arab – oud (عود)
Di Malaysia, masyarakat Orang Asli biasanya akan masuk jauh ke dalam hutan untuk mengambil pokok gaharu. Ada kalanya mereka menceroboh kawasan hutan simpan.
Kajian mengenai kesesuaian penanaman pokok gaharu itu sedang dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Lembaga Getah Malaysia. Kajian ini cuba mengenal pasti sama ada ia dapat menjadi tanaman sampingan di kebun kelapa sawit dan getah bagi menjana pendapatan alternatif kepada pekebun kecil.
GAHARU AROMA KAYANGAN
Gaharu, iaitu damar atau resin beraroma yang terhasil daripada pokok karas atau Aqualaria dari keluarga Thymelaeaceae, amat bernilai tinggi melebihi harga emas.
Pokok yang diserang itu kemudian merembeskan resin bagi melindungi bahagian cedera sama ada pada akar, batang atau dahan, lama-kelamaan menjadi keras seperti kayu yang dinamakan gaharu atau dikenali sebagai Agarwood, Aloeswood atau Eagleswood.
Kini, pokok karas menjadi antara spesies di bawah Convention on International Trade in Endangered Species (CITES), Appendix II iaitu spesies yang terancam.
Menyedari gaharu bernilai tahap 'kayangan' dan berpotensi, sejak beberapa tahun lalu, semakin ramai pengusaha menanam pokok karas di ladang.
Pembangunan inokulam di Malaysia adalah terlalu pasif kerana tidak melibatkan institusi awam seperti FRIM, IPT serta Institut Penyelidikan Swasta. pada peringkat awal pekebun-pekebun kecil karas/gaharu menggunakan inokulam/vaksin daripada negara jiran seperti Thailand dan Vietnam. Namun inokulam tersebut tidak berjaya menghasilkan gaharu. Pihak FRIM telah menjalankan ujikaji menggunakan inokulam yang dihasilkan oleh Dr Richard A, Blenchette terhadap pohon karas/gaharu di seluruh dunia namun ianya gagal.
Beberapa individu dan syarikat telah berusaha menghasilkan inokulam atau vaksin secara persendirian melalui R & D mereka dengan bantuan dan tanpa bantuan daripada mana-mana institusi penyelidikan awam. Pada masa kini terdapat beberapa inokulam di pasaran yang dihasilkan oleh individu dan syarikat tempatan terbukti berkesan.
Cabaran atau dilema bagi pekebun-pekebun kecil karas/gaharu di Malaysia adalah kos yang tinggi dalam inokulasi pokok karas/gaharu mereka yang berumur dalam 5-6 tahun. Anggaran kos inokulasi per pokok di dalam pasaran adalah dalam julat RM100-RM200 bergantung kepada saiz pokok.