Bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun mempunyai peranan yang sangat penting dalam membina sebuah negara yang berdaulat. Generasi muda yang bakal menjadi pewaris Negara perlu memahami dan menghayati sejarah perjuangan dalam mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.
Hari Merdeka disambut di seluruh negara pada setiap 31 Ogos setiap tahun adalah bagi meraikan dan melahirkan rasa bersyukur rakyat Malaysia kerana negara telah bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1511. Hari Merdeka merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran bagi memperingati detik bersejarah negara kita mencapai kemerdekaan.
Pada 31 Ogos 2022, Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 65 dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Oleh itu, Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) akan mengadakan beberapa aktiviti pelajar bagi menyemarakkan lagi rasa cinta negara dalam kalangan para pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP).
Program Semarak Merdeka JMSK 2022 adalah program yang dianjurkan oleh JMSK kepada semua pelajar PSP. Tujuan program ini dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesedaran warga PSP tentang konsep dan rentetan sejarah kemerdekaan Negara dan perjuangan pelbagai pihak yang berusaha untuk mencapai kemerdekaan demi Negara tercinta. Di samping itu, para pelajar dapat mengenali tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan menghargai jasa-jasa mereka. Selain itu, menerusi pertandingan yang dianjurkan dapat mencungkil dan mengembangkan bakat terpendam serta menguji pengetahuan am para pelajar.
Pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kampus dalam suasana yang ceria dan harmoni di bulan kemerdekaan yang dapat membantu dan menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap aktiviti yang dianjurkan juga berunsurkan sains, matematik dan komputer.
JABATAN MATEMATIK, SAINS & KOMPUTER, POLITEKNIK SEBERANG PERAI, PULAU PINANG
RANGKAIAN MEDIA SOSIAL JABATAN MATEMATIK, SAINS & KOMPUTER. POLITEKNIK SEBERANG PERAI, PULAU PINANG