SESI PERTAMA
SEPUTAR DUNIA PERUBATAN TRADISIONAL ALAM MELAYU
Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarif (2025), Ilmu Tib: Inventori dan Perspektif daripada Manuskrip Melayu Terpilih. Wacana Manuskrip Melayu Bil.4 2025. Perpustakaan
Negara Malaysia. Kuala Lumpur.
Abstrak
Ilmu perubatan atau tib merupakan salah satu warisan ilmu yang diamalkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman. Ia mementingkan keseimbangan kedua-dua aspek jasmani dan rohani manusia dalam menguruskan kesihatan serta sarat dengan aspek nilai dan kepercayaan. Kebijaksanaan hasil pengalaman dan interaksi dengan alam dan budaya sekitar tergambar dalam pemanfaatan pelbagai sumber alami dalam rawatan dan pemulihan penyakit khususnya daripada persekitaran rantau Alam Melayu yang kaya dengan kepelbagaian bio mega. Dalam konteks hari ini, tib Melayu dianggap sebagai “tradisional” menurut kerangka perubatan moden, namun hakikatnya ia berpotensi dimanfaatkan untuk membantu menangani cabaran kesihatan semasa. Hal ini boleh dilihat menerusi pengiktirafan terhadap Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan penggubalan akta berkaitan untuk tujuan berkenaan. Walau bagaimanapun merujuk kepada tib Melayu secara khususnya, masih wujud cabaran dan kelompangan dari segi pendokumentasian dan penjelasan kerangka konsep serta amalannya yang perlu ditangani dengan saksama. Justeru, makalah ini bertujuan untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam. Secara khasnya, ia cuba menelusuri dan menghasilkan inventori komprehensif terhadap bilangan dan taburan lokasi manuskrip tib Melayu dalam repositori utama dunia yang masih belum diterokai sepenuhnya. Selain itu, beberapa perspektif penting mengenai ilmu tib dari aspek skop, sumber dan amalannya berdasarkan manuskrip Melayu terpilih yang belum atau jarang diketengahkan oleh para pengkaji dalam bidang ini turut dibincangkan. Kesemua ini bertujuan memperlihatkan keluasan korpus manuskrip tib Melayu yang ada pada hari ini serta potensi hala tuju pengkajian dan pengembangannya di masa depan.
Kata kunci: perubatan, tradisional, peribumi, etnosains, naskah kuno.
Supyan Hussin (2025), Etno-Sains Kesihatan dan Perubatan Alam Melayu: Konsep dan Amalan Tradisional, Moden, dan Kontemporari. Wacana Manuskrip Melayu Bil.4 2025.
Perpustakaan Negara Malaysia. Kuala Lumpur.
Pengenalan
Istilah ethno (etno) akar kata dari Greek bermaksud “kumpulan”; ia disebut ethnic (etnik) sebagai katanama yang merujuk kepada kaum atau ras. Science adalah perkataan yang berasal dari Latin yang bermakna “ilmu”. Apabila dicantumkan etno dan logi ia menjadi etnologi, yang bermaksud pengajian etnik. Di dalam disiplin ilmu antropologi (pengajian kemanusiaan), salah satu pendekatan penyelidikan yang sering digunakan ialah “etnografi” yang membawa maksud kajian yang dijalankan dengan cara mencatat maklumat di dalam satu komuniti; maklumat mengenai perbuatan, tingkah laku, budaya, aktiviti harian dan rasional disebalik semua yang dilihat berlaku dalam komuniti itu. Pengkaji akan tinggal bersama di dalam komuniti dan membuat catatan (atau tulisan dari akar kata grafi). Apabila disebut “ethnological” ia adalah katasifat yang perlu digabungkan dengan kata nama. ia membawa makna “logik” atau rasional dalam kumpulan atau etnik. Seterusnya jika dijalinkan dengan katanama, misalnya ethnological science, ethnological mathematic, ethnological wisdom, ethnological ideas, ia membawa makna sesuatu bidang atau perkara itu bersandarkan kepada kumpulan itu atau komuniti lokal. Lantas etno-sains ialah ilmu kearifan tempatan yang bersandarkan kepada local (indigenous) knowledge dan local wisdom. Oleh itu “Etno-sains kesihatan dan perubatan Alam Melayu” adalah korpus ilmu kearifan dan amalan kesihatan dan perubatan orang Melayu yang diwarisi dari nenek moyang, dari orang tempatan di zaman moden dan kontemporari ini.
SESI KEDUA
PENYELIDIKAN PERUBATAN INTEGRATIF: GABUNGAN TRADISI DAN SAINS
Ibrahim Jantan (2025), Hala Tuju dan Status Penyelidikan dan Pembangunan Ubatan Herba di Malaysia. Wacana Manuskrip Melayu Bil.4 2025. Perpustakaan Negara Malaysia. Kuala Lumpur.
Abstrak
Penyelidikan dan pembangunan herba memainkan peranan penting dalam meneroka potensi luas perubatan tradisional. Eksploitasi pengetahuan etnofarmakologi berfungsi sebagai asas untuk penyelidikan herba, memberikan pandangan berharga tentang penggunaan tradisional tumbuhan ubatan. Dengan mengintegrasikan pengetahuan etnofarmakologi dengan pendekatan saintifik moden, ubatan herba yang berpotensi dengan sifat terapeutik yang bermanfaat boleh dikenalpasti. Kerjasama antara disiplin dan teknologi canggih semakin banyak digunakan untuk memperkemas penemuan, pencirian dan pembangunan produk herba. Pendekatan pelbagai disiplin ini membolehkan penilaian bahan herba yang lebih sistematik dan berasaskan bukti, yang membawa kepada pengenalpastian calon ubat baharu dan intervensi terapeutik. Kualiti, keberkesanan dan keselamatan adalah perkara utama dalam penyelidikan dan pembangunan herba. Langkah-langkah kawalan kualiti yang ketat, kaedah penyediaan ekstrak piawai, dan penilaian praklinikal dan klinikal yang komprehensif adalah penting untuk memastikan konsistensi, potensi, dan keselamatan produk herba. Aspek kawal selia memainkan peranan penting dalam mengawal selia pembuatan, pengedaran, dan pemasaran produk herba. Mengharmonikan rangka kerja kawal selia, melaksanakan piawaian kualiti yang ketat, dan memastikan pematuhan dengan garis panduan keselamatan adalah penting untuk menjaga kesihatan awam dan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap ubat-ubatan herba. Kerjasama antara pihak berkepentingan, termasuk saintis, pengawal selia, pemain industri, dan pengamal ubatan tradisional, adalah penting untuk membentuk dasar dan peraturan yang berkesan yang menggalakkan pembangunan mampan dan penggunaan remedi herba yang bertanggungjawab. Kesimpulannya, hala tuju dan status penyelidikan dan pembangunan herba berkembang pesat, didorong oleh gabungan kemajuan saintifik, pengetahuan budaya, dan pertimbangan kawal selia. Bidang perubatan herba mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan bagi meningkatkan pengunaannya dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit manusia.
Kata kunci: Ubatan herba, etnofarmakologi, keberkesanan, keselamatan, kawal selia
SESI KETIGA
MENGUBAH TRADISI: INOVASI DALAM WARISAN PERUBATAN TRADISIONAL
Eshaifol Azam Omar (2025), Inovasi dalam warisan perubatan tradisional: ke arah peningkatan standard, kawalan mutu, dan profesionalisme urutan Melayu. Wacana
Manuskrip Melayu Bil.4 2025. Perpustakaan Negara Malaysia. Kuala Lumpur.
Abstrak
Urutan Melayu merupakan komponen penting dalam sistem Perubatan Tradisional Melayu (PTM) yang berasaskan konsep keseimbangan jasmani, rohani dan tenaga dalaman. Kajian ini membincangkan kepentingan pembangunan panduan perawatan dan piawaian urutan Melayu sebagai langkah strategik ke arah pengiktirafan profesional dan integrasi ke dalam sistem kesihatan moden Malaysia. Melalui pendekatan saintifik dan dokumentasi klinikal, protokol urutan Melayu telah dibangunkan di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) bagi memastikan keselamatan, keberkesanan dan kebolehhasilan ulang rawatan. Kajian kes melibatkan pesakit kesuburan lelaki dan neuralgia trigeminal menunjukkan peningkatan ketara dalam fungsi fisiologi dan kesejahteraan emosi selepas menjalani rawatan berprotokol. Inovasi penyelidikan berasaskan metabolomik, neurofisiologi dan bahan herba tempatan turut memperkukuh asas bukti saintifik amalan ini. Selain manfaat terapeutik, pembangunan urutan Melayu mempunyai implikasi sosial, ekonomi dan budaya yang luas termasuk pemerkasaan komuniti, pertumbuhan industri kesihatan dan pelancongan, serta pemeliharaan warisan bangsa. Cadangan dasar nasional seperti penubuhan Majlis Profesional Urutan Melayu (MPUM), Pusat Kecemerlangan Urutan Melayu (MMCE), dan Dana Penyelidikan MyURUT dikemukakan bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan latihan profesional. Kesimpulannya, standardisasi dan integrasi urutan Melayu bukan sekadar usaha pemeliharaan warisan, tetapi satu manifestasi inovasi budaya bangsa dalam kerangka sains kesihatan moden.
Kata kunci: Urutan Melayu, Perubatan Tradisional Melayu, piawaian, integrasi kesihatan, inovasi budaya.
Muhammad Nasiruddin bin Mohd Sobri (2025), Dokumentasi sistematik dalam perubatan melayu. Wacana Manuskrip Melayu Bil.4 2025. Perpustakaan Negara Malaysia.
Kuala Lumpur.
Abstrak
Perubatan Melayu ialah sistem ilmu tradisional yang terhasil daripada pandangan hidup bangsa Melayu yang menekankan keseimbangan antara jasad dan jiwa. Inovasi dalam perubatan tradisional sering difahami dalam konteks penghasilan produk herba atau pembangunan teknik rawatan semata-mata, sedangkan pembaharuan sebenar bermula dengan pembangunan disiplin ilmu itu sendiri. Kajian ini menegaskan bahawa asas bagi pembentukan sistem perubatan Melayu yang lengkap dan sistematik mesti bermula dengan kerja pendokumentasian yang menyeluruh dan berkaedah terhadap semua sumber ilmu, termasuk manuskrip bertulis, tradisi lisan dan amalan rawatan. Sumber bertulis seperti manuskrip-manuskrip kitab Tib menunjukkan kewujudan sistem teori dan istilah yang tersusun, manakala sumber lisan dan amalan rawatan mengekalkan kesinambungan amalan dalam masyarakat. Dokumentasi terhadap ketiga-tiga sumber ini perlu dilakukan melalui proses transliterasi, transkripsi, anotasi, analisis, presentasi dan digitalisasi supaya ilmu tradisional dapat difahami dan dikembangkan semula secara ilmiah. Prinsip utama dokumentasi ialah kesepaduan antara jasad dan jiwa, kesetiaan terhadap sumber asal, penyeragaman istilah, kebolehcapaian ilmu serta pengesahan silang sumber. Hasil dokumentasi ini membolehkan struktur asas perubatan Melayu disusun semula kepada tiga cabang utama iaitu Usul Tib dengan enam kaji, Ilmu Kajiherba yang menghimpunkan herba tunggal dan herba gabung, serta Ilmu Penyakit dan Rawatan yang membentuk perubatan Melayu klinikal. Pendokumentasian yang sistematik akan menghidupkan kembali perubatan Melayu sebagai satu disiplin ilmu yang lengkap, berakar dalam tradisi tetapi mampu berkembang dalam kerangka sains dan pemikiran moden.
Kata kunci: Perubatan Melayu, dokumentasi, sistematik, Usul Tib, manuskrip.