Asian Try Zero-G (ATZ-G) merupakan program khas anjuran Asian Beneficial Collaboration through “Kibo” Utilization (Kibo-ABC) yang memberi peluang kepada pelajar di rantau Asia-Pasifik untuk mencadangkan idea eksperimen dalam persekitaran graviti sifar. Eksperimen yang terpilih akan dilaksanakan oleh angkasawan di Modul Eksperimen Jepun, Kibo, yang terletak di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Program Asian Try Zero-G sebelum ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, dengan 500 cadangan eksperimen daripada 9 negara melibatkan 1,176 peserta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 cadangan telah dipilih untuk dilaksanakan di Modul Kibo.
Kini, Asian Try Zero-G 2027 (ATZ-G 2027) kembali membuka peluang kepada pelajar untuk mengemukakan cadangan eksperimen graviti sifar yang kreatif dan inovatif untuk dilaksanakan oleh angkasawan di Modul Kibo pada tahun 2027.
Planetarium Negara mengalu-alukan penyertaan pelajar yang berminat untuk meneroka sains dan teknologi angkasa melalui idea eksperimen yang baharu dan inovatif. Pelajar yang pernah menyertai ATZ-G sebelum ini juga digalakkan untuk mengemukakan semula cadangan mereka dengan penambahbaikan.
Inilah peluang unik untuk merealisasikan idea eksperimen anda di angkasa lepas! Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada misi Asian Try Zero-G 2027!
*Kibo-ABC merupakan inisiatif di bawah Asia-Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF) yang bertujuan menggalakkan penggunaan Modul Kibo oleh negara-negara di rantau Asia-Pasifik. Melalui pelaksanaan projek kerjasama antarabangsa seperti Asian Try Zero-G, Kibo-ABC berusaha meningkatkan pemahaman tentang angkasa lepas, memperkaya pengalaman agensi angkasa yang mengambil bahagian serta mengukuhkan kerjasama antara negara-negara peserta dengan Jepun.
Meningkatkan minat golongan belia terhadap bidang penerokaan angkasa lepas.
Memberi inspirasi kepada belia untuk mereka bentuk serta melaksanakan penyelidikan inovatif dalam sains angkasa.
Menggariskan kepentingan dan potensi persekitaran mikrograviti.
Memperluaskan pemahaman dan penggunaan Modul Eksperimen Jepun "Kibo" di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Planetarium Negara mengharapkan idea yang unik, baharu, dan/atau informatif yang belum pernah dilakukan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)/Kibo. Idea yang telah dilaksanakan dalam eksperimen terdahulu akan dikecualikan melainkan eksperimen telah ditambahbaik. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Syarat-syarat Eksperimen. Semua kertas cadangan akan dinilai secara adil dan saksama tanpa mengira sama ada permohonan dikemukakan oleh individu atau kumpulan.
Kelayakan
Terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
Terbuka kepada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta pelajar siswazah daripada institusi pendidikan awam atau swasta di Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penyertaan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan, dengan maksimum 4 orang ahli bagi setiap kumpulan.
Tarikh Tutup Penyertaan
30 November 2026, 22:59 MYT
Garis Panduan dan Maklumat Penghantaran
Sila klik dan rujuk garis panduan yang disediakan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tatacara permohonan.
Jom hantar cadangan eksperimen anda untuk menyertai Asian Try Zero-G 2027 melalui borang penyertaan Google Forms yang disediakan di bawah selewat-lewatnya 29 November 2026.
Kertas cadangan yang terpilih akan diumumkan di laman web Planetarium Negara / JAXA beserta kandungan dan nama peserta pada tahun 2025.
Peserta yang mana cadangannya terpilih berpeluang menyaksikan eksperimen yang dijalankan oleh angkasawan di ISS serta mengikuti lawatan ke fasiliti JAXA. (tertakluk kepada kelulusan dan ketersediaan peruntukan)
Sila pastikan anda mengisi Borang Kertas Cadangan dengan lengkap (dan ditukar kepada format PDF, tidak lebih daripada 10MB) sebelum dimuat naik bersama borang penyertaan Google Forms yang disediakan di bawah. Sila rujuk Contoh Pengisian Kertas Cadangan.
Penyertaan tanpa kertas cadangan yang lengkap beserta maklumat eksperimen yang mencukupi adalah dianggap TIDAK SAH dan akan dibatalkan serta-merta.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi Sekretariat ATZ-G 2027 (Malaysia)
Dr. Jong Tze Kian, E-mel: tkjong@planet.gov.my
Pn. Nur' Fazilah binti Mohamad Hanafiah, E-mel: fazilah@planet.gov.my
Sila tulis "Pertanyaan ATZ-G 2027" bagi tajuk emel anda.