Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan limpah kurnia-Nya serta keizinan-Nya, dokumen Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat (SSH) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2023-2025 berjaya direalisasikan.
Syabas dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah, School Improvement Partners Plus (SIPartners+), School Improvement Specialist Coaches (SISC+), Pengetua dan Guru Besar yang terlibat dalam menjayakan usaha murni ini. Semoga segala usaha murni ini akan dapat melahirkan modal insan yang unggul dan sekolah yang berkualiti melalui kepimpinan yang berkualiti dan berkesan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi, persekitaran pembelajaran yang kondusif dan komitmen komuniti yang padu selaras dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Penyediaan Hala Tuju ini telah mengambil kira isu kritikal yang dihadapi dan mengambil kira agenda penting Kementerian Pendidikan serta negeri Sabah yang merangkumi Peningkatan Pencapaian Kurikulum, Pembangunan Sahsiah Murid, Pembangunan Kokurikulum dan Sukan serta Memantapkan Sistem Sokongan di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.
Keunikan Pelan Strategik Sepakat Sabah Hebat ini berbanding dengan yang sebelumnya ialah konsep kesepakatan diterapkan iaitu semua isu strategik dan strategi dibincangkan dan ditetapkan bersama oleh semua sektor secara konsensus. Di samping itu, semua sektor yang berkaitan terlibat menyediakan dan melaksanakan intervensi, program dan pelan operasi untuk menyokong dan mendokong KPI yang telah ditetapkan.
Saya amat mengharapkan agar dokumen Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat JPN Sabah 2023-2025 ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan semua objektif serta sasaran program akan sentiasa difahami dan dihayati oleh semua pelaksana serta dapat menjadi pemangkin kepada semua warga Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah dalam memastikan pelaksanaan inisiatif, intervensi dan aktiviti berjalan dengan lancar dan sistematik bagi mencapai Hala Tuju yang kita tetapkan secara sepakat dan konsensus.
DATUK TAH NIA BINTI HAJI JAMAN
Mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah