Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat (SSH) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah yang dibangunkan untuk tempoh tiga (3) tahun iaitu bagi tahun 2023 hingga 2025 adalah merupakan pelan tindakan untuk menyokong Pelan Strategik JPN Sabah agar perancangan dan pembangunan untuk membentuk kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dapat direalisasikan.
Selaras dengan inisiatif yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah mengenal pasti tujuh (7) isu strategik yang perlu ditangani dalam tempoh tiga (3) tahun. Lima (5) daripada tujuh (7) isu strategik melibatkan prestasi Gred Purata Negeri yang masih di atas 5.30, masalah murid pemulihan di Tahun 6, enrolmen murid aliran STEM yang masih rendah, kebolehbacaan al-Quran murid Tahun 6 dan kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) berada dalam Teras Peningkatan Pencapaian Kurikulum. Sementara itu, dua (2) lagi teras terlibat iaitu Teras Pembangunan Kokurikulum dan Sukan serta Teras Pembangunan Sahsiah Murid masing-masing mempunyai satu (1) isu dalam pelibatan murid di acara antarabangsa dan kehadiran murid. Teras keempat iaitu Teras Memantapkan Sistem Sokongan pula secara langsung berhubung dengan tujuh (7) isu strategik tersebut.
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah boleh mencapai objektif dengan menyediakan strategi yang berfokus kepada empat (4) elemen utama dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) iaitu Pemimpin Berkesan, Guru Berkualiti, Sokongan PIBG dan Komuniti dan Persekitaran PdPc Bermakna. Empat elemen ini dinyatakan sebagai tonggak utama dalam Hala Tuju Sepakat Sabah Hebat (SSH) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2023-2025 yang perlu ditangani agar empat (4) teras tersebut lebih mantap seterusnya mencapai kemenjadian murid dan sekolah berkualiti yang menjadi hala tuju JPN Sabah dapat dicapai dengan jayanya.
Bagi memastikan pelan ini menghasilkan kejayaan yang diingini, kesepakatan warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sama ada bertugas di Ibu Pejabat, PPD dan sekolah yang masing-masing merujuk dalam merancang dan melaksanakan program dituntut seperti dalam slogan “Sepakat SABAH HEBAT”.
MODEL HALA TUJU SEPAKAT SABAH HEBAT (SSH) 2023-2025