Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah sejajar dengan transformasi Sistem Pentaksiran Kebangsaan (SPK) mulai tahun 2011. PBS ialah pentaksiran yang mengukur pencapaian, perkembangan dan pelibatan bagi melaporkan profil murid. PBS bersifat holistik dan merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Kurikulum Kebangsaan.
Pada tahun 2020, Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan institusi pendidikan termasuk sekolah ditutup. Hal ini mengakibatkan tempoh persekolahan secara bersemuka menjadi lebih singkat. KPM telah memutuskan untuk membatalkan UPSR pada tahun 2020.
Berikutan pembatalan UPSR, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) telah diperkenalkan bagi tujuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik dan Kolej Vokasional, Maktab Tentera Diraja dan Maktab Rendah Sains MARA. PKSK menilai penguasaan murid secara keseluruhan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada prestasi akademik semata-mata.Â
Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) turut dibatalkan pada tahun 2020 dan 2021. Pemansuhan UPSR dan PT3 ini adalah selaras dengan hasrat KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada pembelajaran berorientasikan perkembangan murid secara holistik bagi meningkatkan pembelajaran bermakna dalam situasi yang menyeronokkan pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah. Dalam mesyuarat tersebut, KPM turut mencadangkan pentaksiran yang lebih holistik dengan memperkasakan PBS. Pemerkasaan PBS melibatkan usaha untuk memantapkan dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan semua komponen PBS, iaitu PBD, PP, PAJSK dan PPsi.Â