1.0 Latar Belakang
Institut Aminuddin Baki (IAB) telah menerbitkan dua (2) dokumen rujukan iaitu Kompetensi Pemimpin Sekolah (KOMPAS) dan Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) kepada Pemimpin Sekolah (PS) bagi melaksanakan pengurusan dan kepimpinan sekolah.
SKKSM telah digubal pada tahun 2006 merupakan panduan sembilan (9) bidang fungsian yang perlu dikuasai oleh PS, iaitu Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Kurikulum, Pengurusan Kokurikulum, Pengurusan Hal Ehwal Murid, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Pentadbiran Pejabat, Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal, Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia serta Pengurusan Perhubungan Luar bagi mengurus dan memimpin sekolah.
Instrumen KOMPAS yang digubal pada tahun 2008 ialah gabungan enam (6) domain dan 26 kompetensi generik yang dibangunkan oleh IAB untuk mengenal pasti keperluan pembangunan profesional PS dan mendapat profil kompetensi mereka.
KOMPAS dan SKKSM yang menjadi rujukan PS telah digunakan melebihi tempoh lima (5) tahun perlu disemak semula kerana sistem pendidikan yang dinamik dan keperluan pada masa kini, serta kepentingan pelibatan pemegang taruh daripada peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hal ini juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 Anjakan kelima: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; Anjakan 6: Mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian; Anjaran 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas dan; Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung serta; Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25). Kepimpinan berprestasi tinggi dan berkesan adalah penting kerana kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi pendidikan amat bergantung kepada pemimpin pendidikan.
Mesyuarat Khas Semakan Kurikulum bertarikh 12 Ogos 2015 memutuskan bahawa julat masa bagi semakan kurikulum perlu diubah daripada setiap lima (5) tahun kepada setiap tiga (3) tahun. Keputusan ini menunjukkan terdapat keperluan untuk penilaian dan semakan instrumen KOMPAS yang dibina pada tahun 2008 kerana pihak IAB menggunakan instrumen ini sebagai rujukan pembangunan kurikulum latihan. Hal ini disokong dengan maklum balas Mesyuarat Penyelesaian Isu IAB Bil. 4/2016 yang membangkitkan isu tentang PS yang tidak dapat membuat penilaian profesional terhadap kompetensi calon PS di sekolah masing-masing. Oleh itu, Pengarah IAB menegaskan bahawa adalah wajar bagi memikirkan bagaimana hendak membangunkan standard kompetensi PS.
KOMPAS yang disemak semula pada tahun 2015/16 menghasilkan KOMPAS Versi 2.0 yang terdiri daripada lima (5) domain dan 13 kompetensi generik. Antara domainnya ialah Hala Tuju Pencapaian, Sumber Operasi, Mengurus Perubahan, Hubungan dan Kualiti Peribadi.
SKKSM telah disemak semula pada tahun 2017/18 menghasilkan senarai semak fungsi PS yang terdiri daripada empat domain dan 10 bidang tugas. Domain tersebut terdiri daripada Kepimpinan PS, Pengurusan Instruksional, Pengurusan Sumber Operasi dan Pengurusan Hubungan Luar.
Hasil daripada beberapa siri kajian berkaitan KOMPAS Versi 2.0 dan semakan semula SKKSM telah membawa kepada gabungan kompetensi generik dan fungsian yang menghasilkan KOMPAS 2.0.
2.0 Matlamat dan Tujuan
Penggubalan KOMPAS 2.0 adalah untuk:
Menjadi panduan/rujukan standard kompetensi kepada pemimpin sekolah dalam mengurus dan memimpin organisasi pendidikan bagi menggantikan dua (2) dokumen sedia ada iaitu KOMPAS dan SKKSM.
Menjadi asas keperluan latihan dalam pembangunan kapasiti pemimpin sekolah melalui analisis keperluan latihan.
Membantu pemimpin sekolah untuk melihat perkembangan tahap kompetensi yang dicapai berdasarkan profil melalui penarafan kendiri untuk tujuan pembangunan profesional diri mereka.
Menjadi asas utama kepada Kursus Immersion dan Kursus Intervensi Pelonjakan Kepimpinan Sekolah (InPeKs) yang dilaksanakan oleh IAB dalam proses transisi PS baharu yang bertujuan untuk memantapkan pengurusan dan kepimpinan pada awal penempatan mereka.
Menyokong dalam merealisasikan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).
Menyokong dan selari dengan tahap penilaian prestasi sedia ada iaitu Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).
Memenuhi Kerangka kebolehupayaan Pemimpin Sekolah Komanwel (Commonwealth School Leadership Capability Framework) dan Kerangka Kompetensi Pemimpin Sekolah ASEAN (Competency Framework for Southeast Asian School Heads).
3.0 Model KOMPAS 2.0
Model KOMPAS 2.0 yang diguna pakai menjelaskan lima (5) domain dan 18 kompetensi yang menjadi panduan kepada pemimpin sekolah seperti Rajah 1 dan Jadual 1.