Soalan Contoh 1:
Adakah kamu akan menggalakkan kawan kamu agar mempunyai hobi? Mengapa?
Contoh Jawapan:
Respons: Ya, saya akan menggalakkan kawan saya agar mempunyai hobi kerana hobi boleh membawa berbagai-bagai manfaat kepada diri kita.
Pendapat:
1)Dengan adanya hobi, kita boleh menambah bukan sahaja pengetahuan tetapi juga kemahiran. Sebagai contoh, jika kita mempunyai/menceburi hobi seperti bersukan atau bermain alat muzik, kita akan dapat menambah kemahiran dalam sukan atau bermain muzik.
2) Selain itu, kita juga boleh menambah keyakinan diri jika kita belajar sesuatu yang baharu atau dapat menambah kemahiran yang ada dalam diri kita.
3) Bukan itu sahaja, jika kita ada hobi, kita juga boleh mengisi masa lapang kita dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan bukan membuang masa begitu sahaja.
Pengalaman Peribadi:
Saya pernah menggalakkan kawan saya yang selalu mengatakan dia kerap berasa bosan di rumah. Saya berkongsi dengannya tentang hobi saya iaitu membaca buku. Saya memberitahu kawan saya tentang buku-buku yang saya suka baca. Dia menjadi berminat untuk mencari buku yang dia suka dan kini kami akan berkongsi tentang buku-buku yang kami baca.
Soalan Contoh 2:
Sarankan cara-cara untuk memastikan pelajaran kamu tidak terjejas disebabkan hobi.
Contoh Jawapan:
Respons 1: Satu cara untuk memastikan pelajaran saya tidak terjejas disebabkan hobi adalah dengan membuat jadual harian agar saya dapat membahagikan masa dengan baik.
Pendapat: Membuat jadual itu penting kerana saya akan dapat memberikan keutamaan kepada perkara yang lebih penting iaitu kerja sekolah dan juga masa untuk mengulang kaji pelajaran. Dalam jadual itu, saya akan ketepikan masa untuk membuat hobi saya. Namun, jika kerja sekolah terlalu banyak, saya akan sesuaikan jadual untuk melakukan tugas yang lebih penting dahulu.
Respons 2: Selain itu, saya juga boleh menggunakan applikasi dalam talian yang berfungsi untuk mengingatkan saya tentang tugas-tugas sekolah yang perlu saya lakukan terlebih dahulu sebelum saya boleh melakukan hobi saya.
Pendapat: Oleh kerana saya selalu diingatkan untuk menggunakan alat teknologi secara bertanggungjawab, saya boleh menggunakan teknologi untuk memudahkan saya membahagikan masa dengan bijak dengan adanya deringan loceng untuk menyedarkan saya jika saya lalai.
Soalan Contoh:
Apakah yang boleh kamu lakukan untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap ibu bapa kamu?
Contoh Jawapan:
Respons 1: Satu cara untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap ibu bapa ialah dengan membantu melakukan kerja-kerja rumah.
Pendapat: Ini penting kerana kedua-dua ibu bapa kita tentu penat setelah sehari bekerja. Kita akan dapat meringankan beban mereka jika kita sama-sama bantu melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu lantai, menggosok dan melipat baju.
Pengalaman Peribadi: Keluarga saya sudah terbiasa membuat kerja rumah bersama-sama tak kira jika kita sibuk atau tidak. Saya tahu ibu dan ayah saya tentu penat setelah pulang dari tempat kerja jadi saya cuba membantu mereka dengan melakukan kerja rumah juga.
Respons 2: Selain itu, jika saya lihat ibu atau ayah saya berasa kurang sihat, saya akan pastikan mereka mendapat rehat yang secukupnya dan saya akan pastikan adik-adik saya tidak akan mengganggu mereka.
Soalan Contoh 1:
Disebabkan perbuatan jiran kamu, kamu menghadapi kesusahan sewaktu hendak menggunakan kawasan awam. Apakah yang akan kamu lakukan?
Respons: Saya akan menegur jiran saya secara berhemah agar tidak menjejas hubungan kami sebagai jiran.
Pendapat: Mungkin, jiran saya tidak menyedari bahawa perbuatannya menyebabkan kesusahan kepada jiran-jiran di sekelilingnya. Dengan menegur secara baik, saya berharap dia akan sedar dan lakukan sesuatu agar tidak lagi menyusahkan jiran-jirannya sewaktu menggunakan kawasan awam.
Pengalaman Peribadi: Saya pernah ada seorang jiran yang meletakkan basikalnya di koridor. Setiap kali kami lalu di hadapan rumahnya, kami menghadapi kesempitan lebih-lebih lagi semasa kami membawa barang yang banyak.
Soalan Contoh 2:
Terangkan sebab kamu dan jiran-jiran harus menunjukkan sikap bertanggungjawab apabila menggunakan kawasan awam.
Respons: Saya dan jiran-jiran saya harus menunjukkan sikap bertanggungjawab kerana kami mahu hidup dalam keadaan yang harmoni, tenang dan bahagia.
Pendapat: Apabila kami menjaga hati orang-orang di sekeliling kami, terutama jiran yang tinggal paling dekat dengan kita, kita akan sentiasa rasa gembira dan tidak akan berasa kekok atau bermasam muka apabila bertembung dengan mereka. Selain itu, kita juga tidak tahu bila kita akan memerlukan bantuan mereka memandangkan mereka tinggal paling dekat dengan kita.
Pengalaman Peribadi: Saya berasa beruntung kerana mempunyai jiran-jiran yang baik hati dan sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab. Mereka memastikan keadaan di luar rumah mereka sentiasa bersih dan tidak meletakkan barang-barang yang boleh menghalang laluan di koridor. Selain itu, mereka juga tidak pernah mengganggu kami dan tidak membuat bising dan ini memudahkan saya fokus semasa mengulangkaji pelajaran.
Soalan Contoh 1:
Teknologi mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Setujukah kamu? Sila terangkan.
Respons 1: Saya setuju bahawa teknologi mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.
Pendapat: Kita boleh menggunakan teknologi untuk menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan tidak kira di mana mereka berada. Selain itu, kita juga boleh menggunakan teknologi untuk memudahkan kerja-kerja seharian seperti membuat kerja sekolah, mencari maklumat di internet dan memesan makanan dalam talian.
Pengalaman Peribadi: Saya menggunakan teknologi setiap hari untuk membantu saya menyelesaikan tugasan sekolah dalam talian. Dengan menggunakan teknologi, saya dapat menghabiskan tugasan saya dalam masa yang lebih singkat.
Respons 2: NAMUN, saya juga berpendapat bahawa teknologi juga mempunyai banyak keburukan.
Pendapat: Sebagai contoh, kita boleh leka dan pelajaran kita boleh merosot jika kita terlalu ketagih menggunakan teknologi untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton video dan bermain permainan dalam talian. Selain itu, hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan akan terjejas apabila kita terlalu banyak menggunakan alat teknologi. Tubuh kita akan menjadi kurang cergas jika kita selalu menggunakan alat teknologi tanpa ada had.
Kesimpulan: Yang penting, kesan-kesan baik atau buruk bergantung kepada kebijaksanaan seseorang yang menggunakannya. Seseorang yang bijak mengawal dan menggunakan teknologi dengan betul akan meraih banyak faedah. Namun, seseorang yang terlalu banyak membuang masa atau menggunakan teknologi dengan sia-sia akan mengalami kerugian.
Soalan Contoh 1:
Pada pendapat kamu, mengapakah penting untuk kita mengamalkan kitar semula?
Respons: Pada pendapat saya, kitar semula penting supaya kita dapat memelihara alam sekitar kita dan tidak mencemarkan laut, udara dan bumi.
Pendapat: Jika kita tidak membudayakan amalan kitar semula, ia akan memberi kesan-kesan negatif seperti meningkatkan kadar perubahan iklim dan juga lebih banyak pencemaran yang menyebabkan lebih banyak haiwan untuk mati tidak kira di laut, udara atau bumi. Selain itu, jika alam sekitar tidak terpelihara, ia juga boleh menjejas kehidupan manusia.
Kesimpulan: Disebabkan itu, saya berpendapat bahawa kita semua memainkan peranan yang penting untuk memelihara alam sekitar dengan mengamalkan kitar semula kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
Soalan Contoh 2:
Terangkan beberapa cara kita boleh mengamalkan kitar semula?
Respons: Terdapat banyak cara untuk kita kitar semula. Antaranya adalah membuang bahan-bahan yang boleh dikitar semula ke dalam tong kitar semula yang disediakan. Ini dapat membantu menjimatkan masa bagi pekerja-pekerja yang bertugas untuk mengasingkan bahan-bahan kitar semula. Selain itu, kita juga boleh membeli benda-benda yang mengandungi bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti bekas kaca dan tin. Kita boleh menggunakan semula bekas-bekas itu sebagai tempat meletak pen dan pensel kita. Bukan itu sahaja, kita juga boleh membeli bateri yang boleh dicas semula. Ini dapat menjimatkan duit untuk membeli banyak bateri. Jika kita menggunakan bateri yang biasa, kita harus membuangnya dan membeli semula.
Pendapat : Pada pendapat saya, inisiatif pihak pemerintah untuk mengadakan bayaran untuk beg plastik adalah satu cara yang bijak untuk mengurangkan penggunaan plastik. Sebagai pengguna, kita harus membawa beg sendiri dan tidak menggunakan beg plastik lagi. Selain itu, saya juga berpendapat bahawa pemerintah telah mengambil langkah yang baik untuk menyediakan tong-tong biru khas untuk kitar semula kerana ia mendorong penduduk Singapura untuk kitar semula.