Sejarah sekolah ini bermula di sebuah bangunan di Jalan Munawir ( Lemon Street) pada tahun 1897. Peningkatan murid menyebabkan pihak British memindahkannya ke suatu tapak baru iaitu Lorong Java (Javalane) pada tahun 1909. Sekolah ini diiktiraf sebagai sekolah bantuan penuh dan bahasa penghantarnya Bahasa Tamil.
Sekolah ini telah beroperasi di satu bangunan yang digunakan sebagai dispensari kerajaan. Bangunan ini hanya mengandungi satu bilik. Cadangan telah dibuat oleh pihak berkuasa unuk membina bangunan baru pada tahun 1949 dan 1954 tetapi tidak diberi keutamaan ketika itu. Keramaian 150 orang murid menggunakan satu bilik yang ada pada bangunan lama ini.
Sekolah ini pernah ditutup pada 11 September 1957 akibat daripada beberapa laporan Ketua Inspektor sekolah dan Jabatan Kesihatan yang mengesyorkan penutupannya dengan alasan sekolah ini mengancam kesihatan dan keselamatan murid.
Justeru itu, murid-murid sekolah ini dihantar ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Vivekananda di Bukit Tembok yang diuruskan oleh Kelab Ceylonese. Bilangan murid pada masa itu adalah 96 orang yang dibimbing oleh EN.K.Rasiah sebagai Guru Besar dan 3 orang guru.
Cantuman SRJKT Lorong Java dan SRJKT Vivekananda tidak diterima baik oleh masyarakat India. Mereka membantah tindakan Kementerian dan Jabatan Pendidikan. Surat rayuan telah dihantar dari persatuan- persatuan kaum India kepada pihak berkuasa dengan desakan untuk membuka semula SRJKT Lorong Java ditempat asalnya.
Satu memorandum yang ditandatangani oleh En. Lourdes, bagi pihak ibu bapa telah dihantar kepada Ketua Pegawai Pendidikan dengan memberi rasional kenapa sekolah ini perlu dibuka semula. Sebuah Jawatankuasa Bertindak bernama ″Seremban Tamil School Establishing Commitee″. Jawatankuasa ini terus memperjuangkan menubuhkan kembali SRJKT Lorong Java. Perjuangan mereka ini turut memdapat sokongan dari ″Agila Malaya Tamilar Sangam″ yang berpejabat di Ipoh pada masa itu.
Tuntutan membukakan kembali sekolah ini telah menjadi rumit sehingga surat khabar harian Bahasa Tamil telah menyebarkan berita kesuluruhan Tanah Melayu. Kerajaan Negeri terpaksa bertindak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan. ″His Excellency the High Commissioner Of India″ turut memainkan peranan untuk mencari penyelesaian.
Akhirnya pada tahun 1960, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Lorong Java telah ditempatkan kembali di tapak asal. En.M.Kandiah telah dilantik sebagai Guru Besar yang mengambil alih tugas daripada En.V.Chinnathamby yang telah menjadi Guru Besar bagi sekolah Tamil Vivekananda.
Dari 1960 hingga kini SJKT Lorong Java masih kekal ditengah-tengah bandar Seremban. ia telah mengalami pelbagai perubahan fizikal bagi menambung peningkatan pelajar. Setiap tahun enrolmen sekolah pasti meningkat hingga pihak pentadbiran menghadapi masalah menampung peningkatan ini. Ini kerana ramai ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka belajar di sekolah yang usiannya kini mencecah 125 tahun.