Salam Sejahtera dan Salam Madani.

   Saya sangat bersyukur kerana masih lagi diberi kekuatan untuk terus berdiri teguh dan melangkah dengan gagah bagi merealisasikan visi sekolah iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”.


  Sebagai Pentadbir, saya yakin dan percaya bahawa seluruh warga pendidik STLJ telah berusaha dan akan terus berusaha menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan padu bagi meningkatkan kecemerlangan kurikulum, kokurikulum serta sahsiah ke arah bersatu untuk “Bersama Menuju Kecemerlangan”.


  Sebagai sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa nama di persada negara dan dunia pendidikan, penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga sekolah amat diharapkan supaya dapat menguasai ilmu untuk menghasilkan pendidikan berkualiti demi meningkatkan kecemerlangan akademik melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien. Kewujudan laman ini mampu membantu sekolah untuk melangkah setapak ke hadapan untuk terus bersaing dalam arus teknologi maklumat. Justeru, kewujudannya diharap dapat menjadi pencetus dan pemangkin peningkatan hubungan ibu bapa dan masyarakat serta pihak sekolah pada masa akan datang.

    Dalam mencapai matlamat ini maka usaha yang gigih dan pengorbanan yang tinggi merupakan faktor utama penentu kejayaan yang perlu dimiliki oleh setiap warga sekolah. Ianya menuntut iltizam yang tinggi bagi membentuk budaya kerja yang cemerlang dan jelas. Satu yang sudah pasti, laman ini boleh dimanfaatkan oleh semua warga pendidik di  seluruh negara , bagi mengangkat kualiti dan martabat pendidikan ke suatu tahap yang amat cemerlang, melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan.

    Semua guru perlu sentiasa memiliki sikap ingin tahu, suka melakukan perubahan dan peningkatan prestasi diri ke arah yang lebih meyakinkan. Perubahan seperti ini sememangnya sukar diperoleh tanpa kesedaran dalam diri masing-masing. Pengorbanan dan tugas guru amat murni. Saya berharap, semoga komunikasi, interaksi dan pertukaran maklumat akan terus berlaku dengan lebih pesat dan dinamik di ruang siber ini bagi manfaat bidang pendidikan negara. Semoga ini bukan kunjungan kali terakhir anda ke laman ini, kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda semua.

“EDUCATION IS THE PASSPORT TO OUR FUTURE”

Sekian, terima kasih.

JR. KAYATHRI DEVI

Guru Besar

SJKT Lorong Java