Victoria Institution terletak di No. 71, Jalan Hang Tuah (dahulunya Jalan Shaw), Kuala Lumpur tersohor dengan pasukan kadet yang ditubuhkan pada tahun 1901 oleh guru besarnya yang pertama En. Bennet Eyre Shaw. Beliau juga menubuhkan pasukan pancaragam, iaitu Pipe and Bugle Band yang bergabung dengan pasukan kadet. Kini, Victoria Institution mempunyai Pasukan Infranti Kadet. Kumpulan peninjau Pertama Kuala Lumpur dan pasukan pancaragam yang melonjakkan nama sekolah sebagai sekolah yang berprestij dan mengharumkan nama negara setelah menjadi johan pertandingan pancaragam sekolah-sekolah dunia.

Dalam arena sejarah tanah air, sekolah inilah menjadi tempat majlis penyerahan rasmi tentera Jepun kepada pihak British pada tahun 1945. Selain itu Persatuan Alumni Victoria Institution dikenali sebagai Victoria Institution Old Boy’s Association (VIOBA) telah ditubuhkan pada tahun 1922. Kebanyakan alumni sekolah ini menjadi tokoh terkenal negara seperti Tan Sri Ananda Krisnan, Allahyarham Mokhtar Dahari, mantan pemain bola sepak negara, Datuk Dr. Mani Jegathesan, Datuk Seri Rafidah Aziz, ahli ekonomi dan mantan menteri, Y.B. Dato’ Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Datuk Dr. Ng Yen Yen, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia dan Warisan Malaysia. Victoria Institution merupakan antara sekolah perdana untuk sekolah lelaki (dan perempuan untuk Tingkatan 6) dan merupakan sekolah tertua di Kuala Lumpur. Sekolah ini dikenali umum sebagai V.I dan para pelajar yang belajar di sini dikenali sebagai Victorian.