* Laman ini masih dalam peringkat percubaan. Sebarang pertanyaan, sila hubungi admin di media sosial. Terima kasih
Sekolah Menengah Sains Kuching ialah Sekolah Berasrama Penuh yang kedua ditubuhkan di Sarawak iaitu selepas Sekolah Menengah Sains Miri. Pada mulanya pembinaan dicadangkan di sebuah kawasan di Kota Samarahan tetapi akhirnya telah dibina di kawasan sedia ada sekarang. Pembinaannya dirancangkan dalam Rancangan Malaysia Keempat dan dijangka siap pada bulan November 1990 dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 150 orang murid tingkatan 1 dan 150 orang murid tingkatan 4.
Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, pembinaannya telah ditangguh ke Rancangan Malaysia Kelima. Usaha telah dibuat tetapi kerja-kerja pembinaannya terbengkalai dan tapak ini kemudiannya dicadangkan untuk dijadikan kampus sementara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana kos untuk membaik pulih bangunan yang sedia ada terlalu tinggi dan kerajaan Negeri Sarawak telah menyediakan tapak baru di Kota Samarahan.
Keputusan untuk tidak mengambil tapak sekolah ini sebagai kampus sementara UNIMAS telah menyebabkan Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk meneruskan cadangan asol iaitu menjadikan tapak tersebut sebagai tapak SM Sains Kuching. Pada awal tahun 1993, beberapa siri mesyuarat telah diadakan untuk membincangkan penubuhannya.
Pada bulan September 1993, pemilihan bakal pengetua dan penolong kanan telah dibuat di Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu dengan melantik Encik Mortadza Haji Alop dari Bahagian Penyeliaan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sarawak sebagai pengetua dan Encik Abdul Ghani Mohd. Niza dari Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh sebagai penolong kanan.
Pada 16 November 1993 satu lagi mesyuarat diadakan di Bahagian Penyeliaan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sarawak untuk membincangkan persiapan tapak projek sekolah ini. Turut serta dalam mesyuarat ini ialah Dato Haji Abdul Taip Bin Md. Zin, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Kamari Haji Sadiman, Ketua Penolong Pengarah Unit Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Puan Hajjah Dona Babel, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Encik Abdul Ghani Bin Mohd. Niza, Penolong Kanan Sekolah Menengah Sains Kuching.
Pada 1 Disember 1993 kerja-kerja pengurusan sekolah telah bermula manakala pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pula sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan dan mengecat semula bangunan sekolah serta asrama. Walaupun kerja-kerja ini belum siap sepenuhnya, pada 2 Januari 1994 sekolah ini mula beroperasi dengan pengambilan pertama pelajar seramai 120 orang pelajar tingkatan 1 dan 120 orang pelajar tingkatan 4, 17 orang kakitangan akademik dan 9 orang staf sokongan.
Kini sekolah ini mempunyai seramai 506 orang pelajar dan 59 orang kakitangan akademik dan 19 staf sokongan. Persekitaran Sekolah Menengah Sains Kuching berubah wajah dengan segala prasarana yang terkini untuk warganya.
SAINSKU pada tahun 2008
Definisi SAINSKU:
SAINSKU adalah sebuah Sekolah Menengah Sains di Sarawak yang terletak di bandaraya Kuching.
SAINSKU memberi maksud SAINSKU Milikku. Bererti sekolah ini adalah milik kita bersama dan setiap warga sekolah iaitu murid, guru, staf dan ibu bapa bertanggungjawab memainkan peranan untuk menjaga nama baik sekolah, dan hendaklah berusaha gigih bagi memastikan SAINSKU sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan dalam sahsiah, akademik, kokurikulum dan semua aspek pendidikan.
Maksud SAINSKU:
SAINSKU
Aspirasi
Inspirasi
Nadi
Sahsiah
Keperibadian
Unggul
Pengertian warna:
Warna hitam, merah dan kuning
Warna pada bendera Sarawak. Menunjukkan sekolah ini terletak di negeri Sarawak
Pengertian lambang:
Bentuk Rombus: Tidak terikat dengan bentuk konvensional dan bersifat korporat
Bentuk Parabola: Teknologi multimedia atau maklumat yang perlu didedahkan kepada pelajar yang digunakan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, seterusnya melahirkan generasi global serta berkemahiran IT
Roda Bergigi: Melambangkan sains dan teknologi serta melambangkan sekolah ini akan melahirkan teknokrat-teknokrat yang bakal
memajukan negara dalam bidang sains dan teknologi
Lima Gegelung: Menunjukkan semangat kesukanan yang perlu ditanam dalam diri pelajar bermula dari peringkat sekolah lungga ke peringkat antarabangsa
Pencipta Logo:
Tuan Haji Abdul Ghani Bin Mohamad Niza
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera
Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara
Menjadikan kecemerlangan sebagai budaya kerja, kualiti sebagai iltizam, percaya mempercayai sebagai norma harian dan hormat menghormati amalan berterusan seluruh warga sekolah
Sentiasa Berilmu, Berwawasan dan Cemerlang
Berilmu berwawasan
Asas kecemerlangan
Itulah prinsip buat pegangan
Jadi kesinambungan
Impian anak watan
Kitalah teraju bangsa
* Korus
Menyubur dalam minda, jasad dan rohaniah
Berbakti pada Tuhan, nusa dan bangsa
Capaikan kejayaan
Dalam pelbagai bidang
Lahir SMSK cemerlang
Dalam pendidikan, dalam kepimpinan
Bentuk insan yang seimbang
Menjadi pemimpin dinamik dan mampan
Sekolah kita cemerlang
Bekerjasama berpadu tenaga antara pendidik dan pelajar
Terapkan nilai murni
Penghias peribadi bekalan ke destinasi
Ulang * Korus