Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan keizinanNya maka Buku Pengurusan Sesi Persekolahan 2026 telah dapat disiapkan dengan sempurna sebagai dokumen panduan bagi warga guru dalam menjayakan visi dan misi sekolah. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyediakan buku ini. Kandungannya yang terdiri selain dari susunan Jawatankuasa dan senarai tugas khas, juga merangkumi Dasar-dasar Pendidikan Negara. Kita wajar menghayati, memahami dan melaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan berintergriti dalam kerja buat kita sebagai pendidik untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak di masa akan datang.
Selamat menjalankan tugas untuk sesi baru tahun 2026 kepada semua guru dan staf SMK Taman Tun Dr Ismail. Tahun 2025 telah meninggalkan kita manakala tahun 2026 bakal kita tempuhi.Transformasi pendidikan kini memerlukan setiap sekolah membina perancangan yang rapi, sistematik dan holistik dalam semua segi untuk menjadikan sekolah ini sekolah yang gemilang dan terbilang. Marilah kita sama-sama melangkah seiring dan bergerak sederap bagi merangkul hasrat dan harapan kita bagi menjadikan SMK TAMAN TUN DR ISMAIL sekolah cemerlang.
Saya penuh yakin dan percaya bahawa warga SMK TAMAN TUN DR ISMAIL mampu merealisasikan hasrat dan harapan itu jika kita sama-sama berganding bahu dan berusaha gigih bagi mencapainya. ‘Utamakan Adab Sebelum Ilmu’ adalah slogan keramat bertujuan memantapkan lagi pelaksanaan proses pembinaan modal insan secara menyeluruh agar berupaya menghasilkan ‘Kemenjadian Murid’ yang memenuhi matlamat dan objektif yang ditetapkan mengikut hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia. Fokus diberi kepada STEM, TVET, Bahasa Inggeris dan juga inisiatif pendigitalan di sekolah. Di dalam memacu usaha memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Digital maka pendekatan sistem yang dinamakan ‘Transformational e-School Integrated System (TeSIS) telah diamalkan di sekolah mulai tahun 2024.
Kita terus konsisten memperkasakan Pendidikan Abad ke 21 menerusi agenda yang dirangka dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Marilah kita bersama-sama bersatu hati dan bersepakat membestarikan minda generasi yakni murid menjadi insan yang beradab serta cemerlang pemikirannya. Harapan saya hendaknya SMK Taman Tun Dr Ismail akan mampu muncul sebagai salah sebuah sekolah yang disegani pada tahun 2026 ini. Akhir kata, marilah sama-sama kita berganding bahu berusaha membina dan membentuk generasi tercinta. Selamat menjalankan tugas. “BANGKIT BERMARUAH, BANGUN MENYERLAH” Sekian, terima kasih.