TINTA PENGETUA

TINTA PENGETUA

Kemaskini : 5 Mac 2024

Bismillahtrrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Pertama kalinya, saya mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberi peluang untuk saya menitipkan sepatah dua kata dalam Buku Pengurusan SMK Sungai Burong Sesi 2024/2025 ini. Tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Buku Pengurusan kerana dapat menyiapkannya dengan sempurna. Sesungguhnya, kerjasama dan komitmen yang tinggi semua pihak yang terlibat wajar dihargai kerana Buku Pengurusan ini pastinya akan menjadi rujukan dan panduan buat seluruh warga sekolah dalam usaha menjalankan amanah dan tanggungjawab di pundak. Saya berharap semua sahabat guru dapat melaksanakan tugas dengan jujur, amanah, bertanggungjawab dan berintegriti agar kita dapat bersama-sama kerja dalam suasana yang tenang, gembira dan bahagia sesuai dengan konsep kerja itu sebagai satu ibadah.

Setelah lebih enam bulan SMK Sungai Burong ketiadaan Pengetua, akhirnya saya telah menerima Arahan Penempatan (AP) dan diamanahkan sebagai Pengetua di SMK Sungai Burong, Tanjong Karang berkuatkuasa pada 1 Mac 2024. Saya berdoa dan berharap para sahabat pentadbir, guru, AKP, pekerja swasta, PIBG dan komuniti setempat dapat memberi kerjasama yang terbaik, silaturahim dan ukhuwah yang terjalin utuh dan sentiasa dalam kebersamaan dalam menjayakan misi dan visi sekolah khususnya dan Kementerian Pendidikan Malaysia umumnya. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Adnan (Penolong Kanan Pentadbiran) atas khidmat bakti beliau memangku jawatan Pengetua selama kekosongan jawatan tersebut. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru SMK Sungai Burong atas perkhidmatan yang diberikan, kejayaan-kejayaan yang dicapai dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan aktiviti sekolah sama ada dalam bidang Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum pada sesi persekolahan yang lepas. Syabas dan tahniah!

Dalam usaha kita memajukan sesebuah institusi, kepimpinan dan budaya kerja amat penting. Oleh hal yang demikian, lima prinsip budaya kerja iaitu Data Driven. Resilient, Outcome-based, Navigate dan Efficient yang digariskan oleh KPM wajar diamalkan. Ini selaras dengan tujuh fokus utama KPM pada tahun 2024 yang berkehendak untuk Peluasan Kelas Prasekolah, Pelan Pendidikan Baharu, Program Transformasi Daerah (DTP), Pendidikan Manusia, STEM, TVET, Dasar Pendidikan Digital dan Kurikulum Persekolahan 2027. Sebenarnya, pendidikan merupakan wahana yang dapat menunjangi kemajuan dan kejayaan hidup manusia melalui pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Maka, guru dan warga pendidik merupakan nadi penting dalam menggerakkan sistem pendidikan negara. Oleh itu, saya sebagai pemimpin sekolah menyeru seluruh warga SMK Sungai Burong agar berganding bahu menyahut wawasan yang baik ini demi kejayaan anak-anak murid kita yang baik lagi cerdik.

Sepanjang perjalanan sesi persekolahan ini, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan suasana ceria, selamat, bermakna dan terancang. Selain itu, kita perlu mengutamakan pembentukan adab, akhlak dan motivasi dalam diri murid serta memanfaatkan teknologi dan media pembelajaran terkini dengan bijaksana. Dalam dunia pendidikan kini, murid sebagai pelanggan (client) berhak mendapat pendidikan berkualiti. Oleh itu, persiapan dan persediaan mental murid untuk belajar perlu dititikberatkan dengan memperkukuhkan kemahiran literasi dan numerasi.

Sebenar dan sesungguhnya, peranan dan keterlibatan ibu bapa atau penjaga melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting. Ibu bapa atau penjaga dialu-alukan untuk datang ke sekolah dan sentiasa berkomunikasi dengan guru. Selain itu, peranan komuniti dan swasta tidak kurang pentingnya kerana komitmen yang baik dan sokongan padu kepada segala keputusan yang dicapai secara bersama dapat membantu pihak sekolah mencapai sasaran dan matlamat. Oleh itu, hubungan komunikasi dua hala akan memastikan setiap inisiatif dan perancangan pelan pendidikan mencapai keberhasilan yang diharap-harapkan melalui aktiviti jaringan dan jalinan.

Akhir kata, saya berdoa dan menaruh harapan semoga sahabat guru dan seluruh warga SMK Sungai Burong agar terus hidup mewarnai dunia pendidikan dengan bergerak secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab. Saya berharap kita dapat bekerja dengan semangat kerja berpasukan, bekerja dalam kegembiraan dan kebahagiaan demi menggapai kecemerlangan dalam semua bidang pada sesi persekolahan 2024/2025 ini. Doa dan harapan semoga kita semua diberi kesihatan dan kesejahteraan hidup yang baik, persaudaraan dan mahabbah yang utuh serta beroleh keberkatan Allah SWT pada setiap waktu. Amin.

Daun pegaga siapa tak mahu,

Ulaman terbilang selera memikat;

Seluruh warga berganding bahu,

    SuBur cemerlang berkat sepakat.

 

Sekian, terima kasih.

 

“MALAYSIA MADANI”

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA” 

 

MOHD ANUAR BIN MAT SALLEH

Pengetua,

SMK Sungai Burong.

HALA TUJU PENGETUA