TERKINI DI SEPADU
PENCAPAIAN PENINGKATAN GPS DAN PERATUS LULUS SPM 2023
Ahad, 9 Jun 2024 - SMK Paduka Tuan telah menerima kunjungan daripada Hjh. Rosiah bt Salim, SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan En. Fadhlan bin Md Zain, Penolong Pegawai Pendidikan, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (Pegawai Angkat SMK Paduka Tuan) semasa perhimpunan mingguan. Kunjungan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan Anugerah Pencapaian Peningkatan GPS dan Peratus Lulus SPM 2023 kepada pengetua SMK Paduka Tuan. Selain itu, Hjh. Rosiah turut menyampaikan sijil kecemerlangan pencapaian SPM 2023 kepada matapelajaran yang menunjukkan peningkatan di dalam SPM 2023. Tahniah SEPADU!
PASUKAN PANCARAGAM SMK PADUKA TUAN TELAH MEMBUAT PERSEMBAHAN DI TAOYUAN INTERNATIONAL WIND FESTIVAL TAIWAN 2024 DAN PROGRAM PENANDA ARAS 3 BUAH SEKOLAH DI TAIWAN
Selasa, 4 Jun 2024 - Seramai 31 orang ahli pancaragam SEPADU dan 4 orang guru pengiring telah ke Taiwan pada 29 Mei - 4 Jun 2024 untuk membuat persembahan di Taoyuan International Wind Festival Taiwan 2024 yang melibatkan 10 buah pasukan pancaragam di Taiwan. Objektif program tersebut adalah memberikan pendedahan dan pendekatan yang lebih luas kepada pelajar dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif dalam merebut peluang kerjaya dalam bidang persembahan. Sepanjang 7 hari di Taiwan pasukan pancaragam SEPADU telah melawat ke 3 buah sekolah di Taiwan iaitu Wenxin Elementary School, Ching-Hsi Junior School dan The Affiliated Jhongli Senior High School. Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman ahli berkaitan prosedur persembahan di luar negara dan memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri suasana sebenar sistem pendidikan di luar negara.
Tahniah dan syabas Pasukan Pancaragam SEPADU!
MAJLIS RAIKAN BUDI, RIMBUNAN BAKTI SEMPENA PERSARAAN CIKGU JAYALAKSHMI A/P K.KATHIRAVELU
Khamis, 25 Mei 2024 - SEPADU sekali lagi akan kehilangan seorang permata apabila Cikgu Jayalakshmi telah mengakhiri perkhidmatannya sebagai seorang guru pada hari ini. Beliau telah berkhidmat selama 15 tahun di SMK Paduka Tuan. Bersempena dengan itu guru-guru dan kakitangan sekolah telah mengadakan majlis perpisahan. Jutaan terima kasih dari kami warga SEPADU dan segala jasa serta sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di SEPADU akan kami kenang.
SMK PADUKA TUAN JOHAN PERTANDINGAN BOLA JARING PPKI PERINGKAT DAERAH SEGAMAT TAHUN 2024
Selasa, 21 Mei 2024 - 4 orang pelajar PPKI SEPADU telah menyertai karnival pertandingan bola jaring PPKI daerah Segamat. PPKI SEPADU telah mendapat johan kategori sekolah menengah. Pertandingan ini telah mencungkil bakat murid dalam permainan bola jaring di peringkat awal dan membentuk satu pasukan bola jaring yang terbaik di peringkat seterusnya. Selain itu, pertandingan ini memfokuskan semangat kesukanan yang perlu dipupuk sepanjang perlawanan dengan menanamkan rasa ingin menjaga maruah sukan sekolah masing-masing. Tahniah kami ucapkan kepada semua warga PPKI SEPADU.
KEJOHANAN OLAHRAGA PERINGKAT SMK PADUKA TUAN KALI KE-43
Selasa, 21 Mei 2024 - Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah SMK Paduka Tuan merupakan acara olahraga tahunan yang bukan sahaja dilaksanakan di sekolah ini malahan di seluruh sekolah di Malaysia. Kejohanan seumpama ini merupakan antara aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh semua murid. Kemuncak kejohanan yang melibatkan beberapa acara seperti perbarisan, perasmian dan beberapa acara akhir yang dipertandingkan. Tema sukan pada tahun ini adalah ’DUIT’. Kejohanan ini dilaksanakan untuk mendokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kejohanan ini juga selaras dengan aspirasi pendidikan negara iaitu membentuk perpaduan di kalangan warga sekolah. Rumah sukan Topaz berjaya mempertahankan kedudukan sebagai juara keseluruhan bagi kali ke 43.
SAMBUTAN HARI GURU DAN MUHIBAH MEGA PERAYAAN PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Khamis, 16 Mei 2024 - Saban tahun pada tarikh 16 Mei Hari Guru akan mengisi kalender sekolah sebagai satu acara tahunan yang perlu dilaksanakan. Agenda ini merupakan salah satu daripada aktiviti yang amat penting di mana ianya bertujuan menyemarakkan semangat guru dan menghargai jasa guru. Tema Hari Guru bagi tahun 2024 adalah “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”. Selain itu, SMK Paduka Tuan juga telah mengadakan sambutan Muhibah Mega Perayaan pada hari tersebut. Objektif majlis diadakan untuk memberi pengalaman kepada murid konsep sambutan perayaan yang sebenar dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga SEPADU.
ACARA SUKAN SIDANG 1, 2 DAN 3 PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Selasa, 14 Mei 2024 - Acara sidang telah diadakan pada 9, 13 dan 14 Mei ini bertujuan menerapkan semangat kesukanan kepada peserta dan memupuk minat peserta kepada sukan. Selain itu, acara sukan ini dapat memberi pengalaman kepada peserta untuk digunakan pada masa akan datang. Murid-murid dapat memupuk semangat berjuang dalam sukan yang disertai. Pihak sekolah juga dapat mengenal pasti peserta yang berpotensi dan berbakat dalam bidang sukan dan menyediakan pasukan pelapis untuk mewakili sekolah.
MAJLIS PELANCARAN MINGGU PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDA), PROGRAM NILAM, PROGRAM KARAKTER MURID JOHOR (KRMJ) DAN PERASMIAN BULAN BAHASA PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Rabu, 8 Mei 2024 - Empat program telah dilancarkan serentak pada hari ini iaitu Minggu Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Program Nilam, Program Karakter Murid Johor (Krmj) Dan Perasmian Bulan Bahasa. Pelbagai aktiviti dan program yang telah dirancang merentas kurikulum dan kokurikulum di sekolah untuk memberi impak terhadap penglibatan murid-murid secara menyeluruh demi melahirkan modal insan yang berkualiti yang mampu menjadi pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan sosial negara pada masa akan datang.
SUKANTARA PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Isnin, 6 Mei 2024 - Aktiviti rutin tahunan Sukantara 2024 yang diadakan selama dua hari ini merupakan acara wajib bagi semua pelajar SEPADU dalam memupuk semangat kesukanan dan persaingan antara rumah sukan. Selain itu, matlamat utama sukantara ini adalah untuk mewujudkan kecergasan murid-murid dan mewujudkan insan yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum. Ia juga sebagai galakan dan dorongan kepada murid-murid agar bersemangat untuk hadir ke sekolah mengikut apa jua program yang dirancang serta dapat memupuk sikap tanggungjawab serta mematuhi peraturan sekolah. Sebanyak 4 acara yang diuji iaitu 400 meter, 100 meter, lompat jauh dan lontar peluru.
PERTANDINGAN PERTOLONGAN CEMAS DAN PERAWATAN PERINGKAT NEGERI JOHOR
Sabtu, 27 April 2024 - Pasukan Unit Beruniform St John SMK Paduka Tuan telah mengharumkan nama sekolah sekali lagi dalam Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan Peringkat Negeri Johor yang telah berlangsung di SJKC Chong Hwa 2, Kluang. Berikut adalah kejayaan yang telah mereka capai dalam pertandingan tersebut:
Kategori B
1. Pang Li Wen
2. Au Ze Ying
3. Phan Zi Xuan
4. Phan Zi Ying
5. Tan Shi Ji
A. Pakaian Seragam and kawad kaki : JOHAN
B. Kes Panjang : Tempat ketiga
C. Ujian bertulis:
- Phan Zi Ying: Tempat kelima
- Phan Zi Xuan: Tempat keempat
Kategori D
1. Liew Zi Shan
2. Tan Xue Qin
3. Tan Yi Yong
4. Ler Sin Thong
5. Lim Chee Qing
A. Pakaian Seragam dan kawad kaki : Tempat ketiga
B. Kes Panjang : Tempat ketiga
C. Ketua pasukan terbaik Kategori D : Liew Zi Shan
D. Tempat Ketiga keseluruhan Kategori D
Tahniah dan syabas!
KEJOHANAN MERENTAS DESA PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Khamis, 18 April 2024 - Pihak sekolah merancang aktiviti ini untuk melahirkan murid-murid yang bukan sahaja berilmu, berakhlak mulia, mempunyai semangat ukhwah yang tinggi juga memiliki badan yang sihat ada cergas. Aktiviti ini adalah salah satu daripada medium yang dapat memberi ruang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan meningkatkan potensi mereka. Ia menjadi aktiviti tahunan yang mana murid yang berbakat dan berpotensi tinggi akan dibawa ke peringkat kejohanan daerah seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga memberikan peluang kepada murid untuk terlibat dalam sukan semasa hayat mereka di bangku persekolahan.
MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA SMK PADUKA TUAN 1445H/2024M
Selasa, 2 April 2024 - Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa SEPADU merupakan program tahunan yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Pelaksanaan majlis ini bertujuan untuk menambahkan kecintaan umat Islam kepada Al-Quran. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada warga Islam SEPADU supaya menjadi insan yang istiqamah membaca Al-Quran dan beramal dengannya. Selain itu, tujuan majlis ini diadakan untuk mentarbiyah murid beramal dengan sunnah Rasulullah SAW dan mengeratkan ukhwah warga SEPADU.
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM IHYA’ RAMADAN SMK PADUKA TUAN TAHUN 1445H/2024M
Rabu, 13 Mac 2024 - Penantian bulan Ramadan Al-Mubarak pasti dirindui oleh semua umat Islam di seluruh dunia khususnya Malaysia yang terus ingin merebut keberkatan di bulan yang penuh hikmah ini. Justeru bagi meraikan kedatangan bulan tersebut, program Ihya’ Ramadan 1445H/2024M telah diadakan. Ustaz Faizi bin Masrom telah menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Di Ambang Ramadan'. Pelbagai aktiviti yang dapat memberi erti kepada kurniaan bulan penuh rahmat ini akan diadakan sepanjang bulan puasa ini. Antara aktiviti yang akan diadakan ialah Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran dan Iftar ramadan. Selain itu, pihak sekolah juga telah memberikan dan mengagihkan infak ramadan kepada pelajar yatim/piatu/yatim piatu atau miskin.
PROGRAM ORIENTASI PERALIHAN, TINGKATAN 1, 2, 3, 4 DAN 5 PERINGKAT SMK PADUKA TUAN TAHUN 2024
Ahad, 10 Mac 2024 - Program Orientasi SMK Paduka Tuan tahun 2024 akan dikelolakan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Kurikulum dan Unit Kokurikulum. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar-pelajar untuk mengenali budaya sekolah serta mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti akademik, unit HEM, kokurikulum serta iklim sekolah di samping meningkatkan jati diri yang tinggi dalam diri pelajar.
PERTANDINGAN PERTOLONGAN CEMAS DAN PERAWATAN ST JOHN AMBULANS PERINGKAT DAERAH SEGAMAT
Sabtu, 2 Mac 2024 - Pasukan Unit Beruniform St John SMK Paduka Tuan telah berjaya dengan cemerlang dalam Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan St John Ambulans Peringkat Daerah Segamat yang telah berlangsung di Ibu Pejabat SJAM Kawasan Segamat. Berikut adalah senarai kejayaan pasukan ini:
1. Kategori Ambulans Kadet
- Pakaian Seragam & Kawad Kaki: Johan
2. Kategori Perawatan Kadet
- Pakaian Seragam & Kawad Kaki: Johan
- Kes Pendek: Johan
- Perawatan Praktik: Johan
3. Kategori Perawatan Dewasa
- Pakaian Seragam & Kawad Kaki: Naib Johan
- Kes Pendek: Naib Johan
- Perawatan Pendek: Naib Johan
4. Ujian Bertulis Terbaik Perawatan Kategori A: Phan Zi Ying (SMK Paduka Tuan)
Pasukan Perawatan Kadet akan mewakili Daerah Segamat ke Pertandingan Peringkat Negeri Johor pada 20 April 2024 di Kluang.