Sekolah Menengah Padang Tengku (SMKPT) terletak di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang. Sekolah ini telah dibuka pada 4 Januari 1965, bermula dengan sebuah bangunan setingkat yang dinamakan bangunan Balik Angin. Pengetua pertama sekolah iaitu Tuan Haji Abdul Wahab Bin Sidek bersama 3 orang guru yang menyertai program RTC (Regional Training Centre) telah mendaftarkan sendiri kumpulan pertama pelajar SMKPT seramai 67 orang.
Blok bangunan kelas telah bertambah dari semasa ke semasa. Antara blok/bangunan yang terbaru ialah Blok UUM yang menempatkan murid tingkatan 4, 3 dan 1, Blok UTM yang menempatkan tingkatan 5 dan 3 dan yang terkini ialah Bengkel TM yang baru sahaja menerima kunci pada tahun 2012. Selaras dengan era globalisasi, SMK Padang Tengku juga mempunyai dua buah makmal komputer dan jaringan internet tanpa wayer (wireless) untuk kemudahan murid mengakses internet. Selain itu, terdapat sebuah surau untuk murid beribadat dan melakukan aktiviti keagamaan. Sekolah ini telah melaksanakan sesi persekolahan satu sesi bermula pada Oktober 2004. Kelas bermula pada jam 7.40 pagi dan berakhir pada jam 2.40 petang bagi semua aliran.
Bermula tahun 2002 beberapa aliran diperkenalkan iaitu sains tulen, teknologi maklumat dan mata pelajaran vokasional (MPV) iaitu Tanaman Makanan dan Landskap Nurseri. Selaras dengan perkembangan pendidikan vokasional aliran Pendidikan Asas Vokasional Menengah Atas (PVMA) pula diperkenalkan bagi menggantikan mata pelajaran Tanaman Makanan. Pada tahun 2015 Kelas Pendidikan Khas pula diwujudkan dan sehingga kini terdapat 8 orang pelajar dalam kelas tersebut. Di samping itu juga pelbagai bilik khas yang diwujudkan seperti galeri sekolah, galeri seni, galeri sanis dan rumah cendawan.