Sekapur Sirih Seulas Pinang


Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera.

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya Manual Pengurusan SMK Jalan Empat 2024/2025 dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sesungguhnya buku ini adalah dokumen penting sebagai panduan dan rujukan kepada semua warga JESS dalam bidang pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid. Semua warga JESS khususnya para guru dan staf sokongan perlu meneliti dan memahami isi kandungan dokumen ini serta mengamalkannya.

Sebagai penjawat awam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan dasar-dasar dan arahan-arahan kerajaan, khususnya dasar yang berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Berbekalkan keazaman dan kesungguhan, kita boleh membuktikan kematangan kita sebagai kakitangan berwibawa sesuai dengan tuntutan kerjaya yang semakin mencabar.

Sebagai tenaga pelaksana, marilah kita memupuk semangat bekerjasama, menanam rasa tanggungjawab dan berintegriti dalam menjayakan serta melaksanakan dasar-dasar KPM secara penuh amanah dan berdedikasi. Saya juga berharap segala program yang dirancang akan dapat disempurnakan dan membuahkan hasil yang cemerlang. Berbekalkan komitmen yang tinggi, semangat kolaboratif, perjuangan dan semangat kepunyaan yang tidak berbelah bahagi adalah tidak mustahil warga JESS boleh mengekalkan pencapaian dalam pelbagai bidang baik peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Marilah sama-sama kita jadikan impian ini sebagai satu kenyataan.

 

Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penyediaan Buku Manual Pengurusan 2024/2025 ini. Semoga warga JESS bersikap positif dan bergerak secara proaktif, berfikir secara kreatif dan inovatif serta bertindak dengan komited juga penuh bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sepanjang tahun 2024/2025 ini. Adalah menjadi harapan saya agar warga JESS dapat bekerja sebagai satu pasukan yang utuh demi mencapai kecemerlangan dalam semua bidang khususnya aspek kemenjadian murid.

 

Sekian, terima kasih.

"MENJULANG ILMU, MEMBENTUK PERIBADI" "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

 

 

MOHD FAREED FAHEIM B. MOHD ELYAS MAJEED

Pengetua,

SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi.