Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah yang nama asalnya ialah Sekolah Menengah Agama Sains Selaru merupakan satu-satunya sekolah Agama di bawah yang pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang menawarkan Aliran Sains Tulin di negeri ini. Sekolah ini juga merupakan sekolah terakhir diserahkan pentadbirannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu pada tahun 2015 melalui MoU KPM bersama Kerajaan Negeri Sembilan. Sekolah ini ditukar namanya supaya lebih menggambarkan sebuah yang lebih dikenali di peringkat negeri dan negara. Diubah dengan nama Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah.
Status sekolah ini bertaraf sekolah harian tetapi semua pelajarnya wajib tinggal di asrama. Tiada seorang pelajar pun yang berulang. Memiliki 10 kelas dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Pelajarnya diasingkan mengikut jantina dan kelas. Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah mempunyai 42 orang guru iaitu 22 orang Guru Tahfiz dan 20 orang Guru Akademik. Jumlah keseluruhan pelajarnya seramai 270 orang iaitu 133 lelaki dan 137 perempuan. Jumlah kakitangan sokongannya seramai 7 orang. Pelaksanaan PdPc dijalankan dalam satu sesi iaitu sesi pagi sahaja. PdPc bermula seawal pukul 7.00pg sehingga pukul 9.00pg untuk Kelas Tahfiz dan di sambung dari pukul 9.30 pg sehingga pukul 3.30 ptg untuk kelas akademik. Kemudian disambung semula dari pukul 07.00 malam sehingga 09.00 malam bagi Kelas Tahfiz. Pentadbiran SMASKP sekarang ini diketuai oleh Tuan Ramlan bin Md Din sebagai Pengetua. Beliau merupakan Pengetua ke-4 sejak dari di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan sehingga sekarang. Beliau dibantu oleh Tn Hj. Ibnorazan bin Hj. Ibrahim PK Pentadbiran, Pn Aziah binti Khairudin selaku PK HEM dan Tn Muhazam bin Mohamad PK Kokurikulum, Pengurusan sekolah ini dibantu oleh 5 Ketua Bidang iaitu En. Wan Roslan bin Wan Ali (KB Pendidikan Islam), En. Mohd Zaidi bin Ishak (KB Vokasional), Pn. Noraida binti Aludin (KB Kemanusiaan), Pn Nurulafidah binti Hj Abdul Malek (KB Bahasa) Pn. Shuhaila binti Mohd Kalimuddin (KB Sains dan Matematik) dan Cik Siti Hazreen binti Shahrom (Kaunselor).
Lokasi SMA Sains Kuala Pilah ini berada di antara Pekan Johol dengan Pekan Kuala Pilah iaitu di Kampung Selaru di bawah DUN Johol. Kedudukannya terletak di atas bukit. Situasi udaranya yang nyaman dan jauh dari kebisingan kenderaan amat sesuai dengan suasana pembelajaran tahfiz. Berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit dan tumbuhan hijau di sekelilingnya menjadikan iklim fizikal sekolah ini sangat
kondusif dan menenangkan jiwa para warganya. Walaupun sekolah ini berstatus Sekolah Harian, namun pencapaiannya setanding dengan pencapaian sekolah- sekolah berasrama penuh yang lain di Negeri Sembilan ini khususnya dan di negara ini amnya. Tidak hairanlah sekolah ini menjadi antara sekolah pilihan bukan sahaja dari warga Negeri Sembilan malah dari seluruh negara. Namun begitu keutamaan diberi kepada anak-anak Negeri Sembilan. Sekolah ini bukan sahaja cemerlang dari segi Tahfiz malah turut cemerlang dalam bidang akademik dan Kokurikulum dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Telah meraih pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti pencapaian SPM terbaik, menjadi johan di dalam pelbagai acara ko akademik dan sukan permainan seperti Johan Nasyid, Tilawah Quran dan hafazan, Bola Tampar, Memanah serta cemerlang dalam unit KRS dan Puteri Islam.