PROFIL SEKOLAH
Nama Sekolah : Sekolah Kebangsaan Yan Kechil
Alamat Sekolah : Sekolah Kebangsaan Yan Kechil,
06900 Yan, Kedah.
Daerah : Yan
Lokasi Sekolah : Bandar
Kod Sekolah : KBA9013
No. Tel/Fax : 04-4655951
E-mail : KBA9013@moe.edu.my
Daerah MGB : Yan
Guru Besar : Mohd Zaki bin Haji Abdullah
PK Pentadbiran : Paridah binti Man
PK HEM : Mohd Mawardy Helmi bin M. Said
PK Ko-kurikulum : Mohamad Yakup bin Toni
Jumlah Guru : 40 orang
Jumlah Staf : 3 orang
Jumlah pelajar (1 Jan 2023) : 483 orang
Sesi Persekolahan : pagi sahaja
LENCANA SEKOLAH
WARNA
Merah
Melambangkan keazaman warga sekolah yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan.
Kuning
Melambangkan keikhlasan warga sekolah untuk menjadi insan yang berkualiti.
Hijau
Melambangkan pemuafakatan dengan masyarakat dan kerjasama yang jitu demi kemajuan pendidikan.
Latar belakang sekolah
Sekolah Kebangsaan Yan Kechil letaknya di pekan Yan Kechil dan jaraknya lebih kurang 43 kilometer dari bandar Alor Setar dan tiga kilometer dari pekan Yan. Sekolah ini mempunyai dua blok satu tingkat, satu blok dua tingkat dan satu blok tiga tingkat.
Kampung-kampung yang berdekatan dengan sekolah ialah Kampung Kuala Sungai Yan, Kampung Permatang Serentang, Kampung KEDA, Kampung Jalan Perigi, Kampung Titi Serong, Kampung Dulang Besar juga taman perumahan Taman Setia Jaya dan Taman Yan. Kebanyakan pelajar datang ke sekolah menaiki basikal, berjalan kaki serta dihantar oleh waris.
Sekolah Yan Kechil adalah kategori sekolah luar bandar yang mana kebanyak warisnya bekerja sebagai nelayan dan juga petani. Hanya sebahagian kecil waris terdiri daripada kaki tangan kerajaan.
Pihak PIBG sentiasa membantu sekolah dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. PIBG juga aktif menjalankan aktiviti menambah sumbangan membantu sekolah. Pihak sekolah sentiasa menerima sumbangan dan bantuan dari segi perkhidmatan dan kewangan dari orang perseorangan tempatan, yang berhampiran dan badan-badan tertentu.
Sejarah Sekolah
Sekolah Kebangsaan Yan Kechil mula diasaskan pada tahun 1924 oleh Allahyarham Tn. Hj. Aziz bin Md. Akid di atas tanahnya sendiri seluas 3 ekar 3 root 16 pole, lot no.2987.
Ketika itu ia terkenal dengan Sekolah rakyat dan dirasmikan oleh Tuan Steward iaitu Pegawai Pelajaran Kedah. Bilangan murid ketika itu ialah seramai 65 orang dan guru seramai dua orang. Gaji guru-guru dibayar separuh oleh kerajaan dan separuh lagi oleh waris murid.
Pada tahun 1945, sekolah ini telah didirikan semula oleh kerajaan beratapkan nipah, dinding papan dan tingkap bertam. Bangunan ini pernah dipukul ribut hingga runtuh. Pada tahun 1954, iadidirikan semula dengan lima bilik darjah dan menerima bantuan sepenuhnya daripada kerajaan.
Oleh kerana pertambahan murid begitu pesat, pada tahun 1959, dua buah bangunan tambahan didirikan mengndungi 6 bilik darjah setiap blok . Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh Y.T.M. Tengku Bendahara Kedah pada 15 Septmber 1959. Pada tahun 1960 sekolah ini telah dinaik taraf menjadi sekolah pusat. Jumlah murid hampir 700 orang dengan guru seramai 26 orang.
Pada tahun 1975 bangunan dua tingkat telah didirikan dengan 6 bilik darjah termasuk pejabat dan bilik Guru Besar. Tahun 1982 sebuah kantin baru dibina dan bangunan blok A dan blok B telah diubahsuai.Tahun 1999 sebuah bangunan tiga tingkat dibina bagi menampung pertambahan murid. Sebuah makmal komputer yang terletak bersebelahan padang permainan telah dibina pada tahun 2002. Pada tahun 2013, satu blok bangunan lama (Blok B) telah dirobohkan. Pada Julai 2013, dua unit kabin dibina bagi menempatkan bilik darjah dan juga bilik guru.
Sehingga kini ( 2014) , Sekolah Kebangsaan Yan Kechil mempunyai 486 orang murid, 42 orang guru dan 4 orang staf bukan guru
FALSAFAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Yan Kechil berazam untuk melahirkan murid yang berkembang secara harmonis serta seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani untuk memenuhi keperluan dan cabaran masa hadapan negara selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan
MATLAMAT SEKOLAH
Melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu, beriman, berakhlak mulia, berketrampilan, taatsetia, bersatu padu dan sejahtera bagi memenuhi keperluan dan kehendak negara
VISI
Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera
MISI
Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi memenuhi Aspirasi Negara
TAG LINE
SKYK Best
MOTO SEKOLAH
Taat Berbakti
DASAR SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Yan Kechil akan mengangkat mertabat sekolah menjadi sekolah cemerlang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat sekolah. Dasar sekolah ialah:
1. Membina perkembangan pendidikan asas seperti yang temaktub dalam kurikulum demi mencapai kecemerlangan.
2. Mengamalkan nilai-nilai dan sikap yang lebih positif dalam pengajaran dan pembelajaran.
3. Meningkatkan amalan disiplin pelajar yang tinggi dalam semua kegiatan.
4. Membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai murni.
5. Mencapai kecemerlangan dalam semua bidang kokurikulum yang disertai.
LAGU SEKOLAH
Tersenyum megah putera puteri
Menguntum harapan di hati
Dengan tekad serta azam
Capaikan kejayaan
SKYK sekolah kebangsaan
Teguh tegak menentang zaman
Bakti guru curah ilmu
Tetap dikenang selalu
Akademik dipentingkan
Sukan tidak dilupakan
Cekal tabah hadapi dugaan
Demi kecemerlangan
Janjiku tetap ditepati
Belajar oh sesungguh hati
Tuntut ilmu tidak jemu
Untuk kegemilanganmu(3x)
PIAGAM PELANGGAN
Kami warga SK Yan Kechil dengan penuh iltizam berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk :
Memastikan semua kanak-kanak mengikut umur yang ditetapkan mendapat tempat belajar pada hari pertama sesi persekolahan baru dimulakan.
Memastikan semua murid menerima pendidikan yang berkualiti berasaskan kurikulum yang telah ditetapkan olen Kementerian Pelajaran Malaysia.
Memastikan semua murid terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum dan sukan dalam usaha memperkembangkan potensi secara seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Memastikan segala keperluan asas untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah disediakan dengan lengkap.
Memastikan semua urusan peperiksaan dan pentaksiran dilaksanakan dengan cekap, adil, amanah dan sah.
Memastikan segala aduan kepada atau mengenai sekolah diberi jawapan dalam tempoh satu minggu dari tarikh penerimaan.
Memastikan bayaran bil dan invois yang lengkap dibuat tidak melebihi 14 hari dari tarikh penerimaan.
Memastikan perkhidmatan kaunter yang mesra, cekap dan responsive terhadap kehendak semua pelanggan.
Menentukan segala surat dan rayuan kepada dan mengenai sekolah diberi jawapan dalam tempoh dua minggu dari tarikh penerimaan.
Sentiasa bersedia dan sanggup menerima pandangan, teguran dan cadangan yang membina dari semua pihak demi mempertingkatkan prestasi perkhidmatan dan kecemerlangan pendidikan.
TS25 Kohort 5 2021