Terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pekan Telipok, SK Tampulan yang dibuka pada tahun 1960 merupakan antara sekolah terawal yang ditubuhkan ketika era pemerintahan British di Sabah. Pembinaan pusat pendidikan rendah ini telah diusahakan sepenuhnya oleh penduduk-penduduk kampung secara bergotong-royong dengan kerjasama Borit Ginal yang bertindak sebagai ketua. Dinding asal bangunan ini awalnya berasaskan batang-batang buluh dan berbumbung zink. Pada awal penubuhannya, SK Tampulan telah dinamakan Goverment Primary School (GPS) Kebayau, sempena mengambil nama kampung asal encik Borit (Kampung Kebayau). Ketika itu, ia hanya mempunyai seorang guru dengan bilangan murid seramai 30 orang.
Sungguhpun penubuhan dan operasi pembelajaran dilaksanakan pada zaman British, pusat ilmu ini tetap menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Memandangkan bilangan sekolah yang ada pada masa itu terlalu sedikit, maka pusat pembelajaran ini turut menjadi tumpuan penduduk-penduduk dari beberapa buah kampung berhampiran seperti Tambalang, Timbok, Malidan dan Natai. Beberapa tahun selepas Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, pada tahun 1968, pemimpin-pemimpin yang mentadbir negara ini ketika itu telah menggantikan nama GPS kepada sekolah rendah kerajaan atau SRK.
Hal yang sama turut terjadi kepada GPS Kebayau, namun namanya ditukar kepada SRK Tampulan sempena mengambil nama tempat ia didirikan iaitu di Kampung Tampulan. Dalam tahun yang sama, SRK Tampulan yang kini dikenali Sekolah Kebangsaan (SK) Tampulan telah mempunyai dua buah bangunan baru untuk kemudahan akademik di samping sebagai pejabat guru besar dan kediaman guru. Struktur bangunannya pada masa itu juga berasaskan papan dan beratapkan zink. (KK8: 17 Januari 2011 – Oleh: Noraini Mahya)