Sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Selangor bermula pada tahun 1974, iaitu dengan menggunakan nama Sekolah Kebangsaan Shah Alam. Sekolah ini merupakan sekolah tertua dan pertama yang wujud di Shah Alam. Lokasi sekolah ini hanya 6 km dari Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana dan dikategorikan sebagai sekolah bandar.
Pada 24 Februari 2010, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) telah ditubuhkan. Semasa penubuhan kelas ini, bilangan murid adalah seramai tiga orang dan guru seramai tiga orang (seorang guru tetap dan dua orang guru sandaran). Bilangan murid semakin bertambah dari tahun ke tahun. Kini bilangan murid adalah seramai 61 orang yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, hiperaktif, autisme, slow learner dan pelbagai ketidakupayaan (multi disorder). Bilangan guru pula adalah seramai lapan orang guru siswazah dan dibantu oleh tiga orang pembantu pengurusan murid.
Kepesatan pertambahan bilangan murid di PPKI SK Shah Alam dari tahun ke tahun memberi kesan positif dan galakan yang sangat memberangsangkan dalam meningkatkan kualiti pengurusan kelas dan kemenjadian murid PPKI di sekolah ini.
Pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa berusaha dan berpadu tenaga bagi memastikan bakat murid-murid PPKI di sekolah ini akan sentiasa digilap dan diketengahkan. Berkat usaha dan sokongan daripada pelbagai pihak, kejayaan demi kejayaan telah berjaya dijulang oleh murid-murid PPKI di sekolah ini terutama dalam bidang ko-kurikulum dan ko-akademik.
“Pendidikan Khas di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ia menyediakan perkembanagan optimum kanak-kanak dengan keperluan khas agar dapat berfungsi sebagai individu yang berkemahiran, berdikari, berhaluan, boleh merancang, mengurus kehidupan sendiri,boleh menyedari potensi sendiri dan boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat.”
CARTA ORGANISASI PENDIDIKAN KHAS