SEJARAH

Pada bulan Julai 1883, sebuah sekolah yang diberi nama “Central School” telah dibuka dengan murid-muridnya seramai 13 orang. Sekolah ini terletak di tapak asalnya iaitu asrama jururawat berhampiran dengan stesen kereta api.


Pada tahun 1904, pembinaan bangunan baru dimulakan di Jalan Stesen yang masih digunakan sehingga sekarang. Apabila bangunan ini siap dibina, Central School Taiping pun ditutup. Murid-murid dipindahkan ke sekolah baru ini yang dibuka dengan rasminya pada tahun 1905.


Sekolah ini dinamakan “King Edward VII School”. Pembukaan rasminya telah dibuka oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah. Turut hadir pada majlis pembukaan tersebut ialah Residen British pada masa itu Sir W.J.P. Hume yang turut menyampaikan ucapan. Hasrat beliau dalam ucapannya agar King Edward VII (1) melahirkan  “putera-putera” yang berguna kepada negara.


Tapak bangunan baharu ini telah dibina di atas tapak stesen kereta api Taiping iaitu stesen kereta api pertama Tanah Melayu. Pada Bulan Mac 1958, sekolah ini dipecahkan menjadi 3 buah sekolah iaitu SM King Edward VII, SRK (Ingggeris) King Edward VII(1) dan SRK (Inggeris ) King Edward VII(2).


Setiap sekolah mempunyai pentadbirnya sendiri. Peringkat menengah berpindah ke bangunan asalnya di Jalan Trump dan di Jalan Muzium Hulu. Bangunan asal di Jalan Stesen diserahkan kepada sekolah rendah SRK King Edward VII(1), manakala pada tahun 1973 SRK King Edward VII (2) berpindah ke bangunan baharu di Jalan Lumba Kuda berhampiran dengan Taman Tasik Taiping. Oleh itu, SRK King Edward VII(1) menjadi milik tunggal bangunan keseluruhannya hingga hari ini.


Bangunan Maktab Perguruan Harian yang didirikan pada tahun 1957 di kawasan sekolah ini telah diserahkan kepada sekolah pada tahun 1968. Kemudian 2 blok binaan yang separuh kekal dibina selari dengan Lorong King Edward sebagai bangunan tambahan.


Sekolah ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sebuah Klinik Pergigian telah diwujudkan pada tahun 1959. Sekolah ini telah dibekalkan dengan perkhidmatan dan latihan berhubung dengan kesihatan gigi yang amat penting kepada murid-murid. Selain itu, tugas perkhidmatan yang penting ialah memberi rawatan pergigian kepada murid-murid di sekolah ini.