Alhamdulillah, segala pujian dipanjatkan ke hadrat ilahi kerana atas rahmat dan izin-Nya kita dapat bersua serta diberikan kesempatan dalam menjalani kehidupan sebagai penjawat awam yang bergelar “CIKGU” bagi meneruskan perjuangan di SK Duyong dalam mendidik serta membangunkan potensi diri anak bangsa sebagai persediaan dalam membentuk generasi pemimpin agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Warga SK Duyong yang telah berusaha dengan gigih dalam menyumbang tenaga dan idea serta usaha bagi setiap kerja buat kita demi menjayakan segala perancangan yang telah dilaksanakan pada tahun lalu. Semoga semua usaha yang dicurahkan menjadi penentu kecemerlangan SK Duyong pada masa depan.
Kita masih belum menang! Kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19 yang semakin mencabar dengan kewujudan varian baharu yang semakin membimbangkan. Kita sedang menjalani kehidupan dalam norma baharu ke arah fasa endemik Covid-19 dengan pelbagai SOP mesti kita patuhi. Di samping mendidik anak-anak SK Duyong dalam akademik, kokurikulum dan sukan dengan penerapan nilai-nilai murni dan sahsiah terpuji, kita juga perlu menerapkan gaya hidup norma baharu. Tugas cikgu dalam PdP sebagai pemudahcara melalui pelbagai kaedah semakin mencabar, terutamanya dalam pelaksanaan PdPR. Saya yakin bahawa dengan adanya perancangan yang teliti dan relevan serta tindakan yang tepat dalam kalangan Warga SK Duyong, sudah pasti akan menjana kejayaan yang cemerlang serta memberikan output dan outcome yang berkualiti tinggi. Dalam kita memacu kecemerlangan pendidikan ke arah melahirkan modal insan terpuji era Industrial Revolution 4.0 dan Society 5.0, murid bukan sahaja perlu menguasai akademik, kokurikulum dan sukan dengan cemerlang tetapi perlu disediakan dengan kemahiran individu bagi memastikan mereka dapat mendepani dunia akan datang.
Tahniah diucapkan kepada warga SK Duyong atas penerbitan Buku Pengurusan SK Duyong Edisi 2022/2023. Marilah kita berganding bahu sebagai satu keluarga bagi memastikan kualiti sekolah dan kemenjadian murid SK Duyong menjadi fokus utama dalam kerja buat kita. Slogan “Guru Cemerlang, Murid Gemilang, Sekolah Terbilang” akan sentiasa dijadikan rujukan dan panduan oleh Warga SK Duyong dalam semua bidang agar perancangan strategik SK Duyong dapat dilaksanakan dan dicapai bagi sesi 2022/2023. Diharapkan agar buku ini menjadi pemangkin kepada ibu bapa dan komuniti yang sentiasa cakna akan perkembangan sekolah. Semoga segala usaha dan komitmen yang dicurahkan akan dibalas dengan kejayaan dan keberkatan, maka terhasillah modal insan yang cemerlang.
Selamat bertugas!
#skduyongjenamakerajaanno1
Saya yang menjalankan amanah