Program Susu Sekolah (PSS)
JENIS BANTUAN :
Bantuan Khusus
PENGENALAN :
Sebagai tambahan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) telah diperkenalkan pada tahun 1983 sebagai makanan tambahan untuk membekalkan nutrisi yang mencukupi dan pemakanan yang seimbang serta memupuk tabiat pemakanan yang baik supaya
murid sihat dan sentiasa segar.
Program ini juga adalah untuk meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan di kalangan murid-murid sekolah rendah bagi memastikan pertumbuhan fizikal,
mental dan kesihatan murid-murid sekolah rendah bertambah baik.
KADAR :
Satu kotak susu untuk setiap murid penerima pada setiap hari persekolahan.
PEMILIHAN :
PSS diberikan kepada semua murid warganegara Malaysia dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di semua Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
yang memenuhi kriteria berikut:
Pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional semasa; atau
Semua murid yang bersekolah di Sekolah Orang Asli/ Penan; atau
Semua Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang memegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Murid yang tinggal di asrama tidak layak menerima PSS.
KAEDAH PELAKSANAAN :
Susu kotak UHT (Ultra High Temperature) dibekalkan kepada sekolah untuk diedar kepada murid.
PUNCA KUASA :
1. Surat Pekeliling Kewangan BT 19 Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Di Sekolah Rendah.
2. Panduan Pengurusan Susu Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.