BUDAYA HIDUP SIHAT MELALUI KAEDAH PENGAMBILAN DAN PENGAMALAN PEMAKANAN YANG SEIMBANG DALAM MENANGANI OBESI

Projek Kefahaman melalui Reka Bentuk (KmR) ini telah dilaksanakan di SK Jitra selama 3 bulan bermula bulan Julai sehingga September 2019.  Seramai tiga orang fasilitator yang diketuai oleh Encik Muhammad Abdul Mu`ati bin Muhammad Yusof ( RBT dan BM ), Puan Noraiyani binti Ismail  ( Matematik ) dan Encik Md. Zahir bin Darus ( Sains )  telah terlibat dalam melaksanakan projek ini. Guru-guru telah terlibat sepenuhnya dalam merancang reka bentuk P&P untuk melaksanakan  pengajaran menggunakan pendekatan pembelajaran secara projek bagi  murid Tahun 5 Abu Dzar dan 5 Abu Said. ‘Show casing’ akan dilaksanakan setelah selesai 12 minggu projek dijalankan.

Tajuk projek ini dipilih kerana peningkatan masalah tersebut dalam kalangan pelajar SK Jitra yang mendadak dan semakin membimbangkan.  Ini juga merujuk kepada  Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan obesiti yang semakin membimbangkan di kalangan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah. 

Menurut kamus DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan.  Masalah obesiti  berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan seharian, pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan minuman terlalu manis.  Masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara  yang tidak diingini seperti  masalah pernafasan dan saluran darah tersumbat. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.

Projek dirancang melalui projek sampingan dan projek utama.  Projek sampingan ialah penanaman sayur kangkung dan projek utama ialah masakan menu sihat iaitu resipi sandwich rendah kalori.  Pada akhir projek, fasilitator akan membimbing peserta projek bagi mengira jumlah kalori yang sepatutnya diambil atau sepatutnya dikurangkan berdasarkan BMI peserta.   Kesimpulannya,  adalah diharapkan bahawa dengan projek KmR ini, akan memupuk kesedaran dan seterusnya mengurangkan masalah obesiti di kalangan pelajar SK Jitra