PENDAHULUAN
Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah untuk memberi akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti kepada murid yang mempunyai kecenderungan, kebolehan, minat dan bakat dalam bidang vokasional.
Matlamat pembangunan program TVET KPM adalah:
Sistem pendidikan vokasional yang dinaik taraf serta berupaya menghasilkan tenaga mahir yang memiliki sijil dan diploma yang diiktiraf oleh industri, agensi kelayakan, badan-badan standard pekerjaan dan institusi pengajian tinggi.
Kenaikan taraf sistem pendidikan vokasional sebagai institusi menengah dan pascamenengah yang dapat menganugerahkan sijil pendidikan vokasional dan diploma pendidikan vokasional sekali gus mengangkat darjat dan keupayaan sistem pendidikan kebangsaan dalam konteks pendemokrasian pendidikan berkualiti.
Ruang keciciran akan mengecil kerana sistem pendidikan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran yang sesuai dengan minat, bakat dan kebolehan murid.
Pengurangan masalah sosial yang membebankan masyarakat. Dengan ini Kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak sumber kepada aktiviti yang lebih produktif dan mendatangkan kesejahteraan.
Murid dapat memanfaatkan potensi dan bakat tertentu yang dimilikinya dengan lebih awal untuk kesejahteraan diri melalui penambahan laluan pendidikan untuk kerjaya.
Pertambahan tenaga pekerja negara sebagai pekerja mahir yang diperlukan oleh industri. Ini menjamin kemampanan daya saing industri dan seterusnya menjamin kemampanan pembangunan ekonomi negara.
Menyumbangkan tenaga mahir untuk negara, khususnya tenaga mahir dalam sesuatu bidang vokasional yang baharu agar menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini dalam pelbagai sektor ekonomi. Ini mempercepatkan lonjakan ekonomi negara ke tahap negara berpendapatan tinggi.
Melahirkan tenaga kerja mahir dan usahawan yang berdaya saing, memiliki kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh industri, berwatak profesional dan diterima oleh pasaran kerja.