PENGENALAN
REKA CIPTA
REKA CIPTA
MATLAMAT
KSSM Reka Cipta bermatlamat untuk melahirkan murid yang berfikiran kreatif, kritis, inovatif dan inventif serta berbudaya reka cipta melalui penghasilan reka ciptaan dengan mengaplikasikan teknologi supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
OBJEKTIF
KSSM Reka Cipta bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:
1. Mengetahui dan mengaplikasikan proses reka cipta dalam pembinaan produk;
2. Mengetahui dan mengaplikasikan pengetahuan tentang bahan, peralatan, dan mesin dalam penghasilan produk;
3. Menghasilkan produk yang inovatif dan bernilai komersial yang bercirikan teknologi hijau;
4. Mengetahui dan mengaplikasikan sistem mekanikal, sistem elektrik, dan sistem elektronik dalam penghasilan produk;
5. Mempersembahkan idea dengan menggunakan teknik lakaran;
6. Mengetahui dan menghasilkan lukisan kerja secara manual dan Lukisan Terbantu Komputer;
7. Menghasilkan jenama, logo, slogan dan brosur untuk pemasaran produk yang berkesan;
8. Mengetahui kepentingan harta intelek dalam reka cipta;
9. Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam menghasilkan dokumentasi dan persembahan maklumat;
10. Mengaplikasikan asas keusahawanan dalam penghasilan produk;
11. Mengetahui dan mengamalkan pengurusan, peraturan keselamatan dan amalan kerja selamat di dalam bengkel; dan
12. Mengamalkan nilai murni terhadap isu yang berkaitan teknologi.
FOKUS
Kurikulum Standard Reka Cipta digubal bagi melahirkan murid yang berbudaya reka cipta dengan memberikan penekanan kepada 3 kluster utama iaitu:
1. Reka Bentuk Produk Dirangka agar murid dapat membangunkan projek reka bentuk berasaskan kajian keperluan. Proses reka bentuk bermula daripada proses lakaran sehinggalah ke penilaian lakaran penjanaan idea yang terbaik dipilih.
2. Teknologi Pembuatan Murid akan diberi pendedahan dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi bidang teknologi di samping dilatih dalam pengujian dan pengukuran kefungsian produk yang dihasilkan
3. Strategi Pemasaran Dalam strategi pemasaran, murid didedahkan mengenai produk, harga, promosi, tempat dan harta intelek kepada produk, strategi pemasaran serta proses komunikasi dan dokumentasi yang berkesan. Kurikulum Standard Reka Cipta berteraskan kepada gabungan tiga dimensi atau konsep iaitu minda, kemahiran, serta nilai dan sikap. Dalam dimensi minda proses reka cipta ialah penyelesaian masalah, penjanaan idea, perekaan projek dan perancangan pembinaan artifak. Dalam dimensi kemahiran pula melibatkan proses pembinaan artifak, pengujian atau penilaian artifak dan pengubahsuaian atau penambahbaikan. Nilai dan sikap seorang pereka cipta yang positif juga penting dalam memantap dan memberi nilai tambah kepada produk yang direka cipta.