PENGURUSAN 

Pusat sumber sekolah (PSS) adalah penjana pembentukan masyarakat yang berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berkemahiran maklumat sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pendidikan abad ke-21. Peralihan paradigma pembelajaran alaf baharu ini memberikan impak yang positif kepada kreativiti dan fleksibiliti pusat sumber sekolah ke arah abad ke-21. Adalah menjadi dasar dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini sehingga mencapai pendidikan bertaraf dunia. Sehubungan dengan itu, perjawatan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) telah dapat memberi fokus ke arah memantapkan PSS sebagai pusat sumber sekolah bercirikan abad ke-21 di Malaysia. Pelantikan GPM (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005 bertarikh 18 Julai 2005 – Penyelarasan Waktu Mengajar bagi Guru Penyelaras Bestari serta Guru Perpustakaan dan Media) merupakan satu usaha kementerian untuk memantapkan pengurusan PSS. 

OBJEKTIF 


Menggalakkan pelbagai aktiviti pembelajaran di PSS. Guru-guru digalakkan menggunakan kemudahan pusat sumber sekolah dalam aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran. Aktiviti galak guna dapat meningkatkan pembelajaran kendiri dan pencarian maklumat dengan menggunakan kemudahan yang terdapat di PSS .

Meningkatkan tahap pembacaan melalui pelbagai sumber PSS menjadi pemangkin kepada pembelajaran kendiri dengan memperbanyakkan bahan bacaan berbentuk cetak, bukan cetak dan digital. Kepelbagaian sumber pencarian maklumat dapat mewujudkan suasana kondusif dan menggalakkan murid membuat rujukan dengan berkesan.

Kemenjadian murid  Pembelajaran dan kemahiran mencari ilmu melalui pelbagai sumber dapat menggalakkan murid mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Hal ini membolehkan mereka bersedia mengikut proses pembelajaran dan seterusnya bersedia untuk bersaing dalam dunia pekerjaan.