Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, kertas kerja bermaksud
"makalah (artikel atau rencana) bertulis yang mengandungi perbincangan mengenai sesuatu persoalan dan cadangan tertentu ".
Tujuan : Mengutarakan penghujahan tentang alasan dan bukti yang boleh diberikan untuk mendapatkan sesuatu seperti kelulusan untuk satu peruntukan kewangan atau kelulusan menjalankan sesuatu projek dan sebagainya.
Kertas kerja adalah salah satu daripada bentuk komunikasi bertulis. Oleh sebab itu kertas kerja bermaksud:
"hasil penulisan yang mengandungi idea untuk dikemukakan kepada khalayak atau pihak-pihak tertentu".
Khalayak perlu membaca kertas kerja tersebut untuk mendapatkan maklumat berkaitan idea yang hendak disampaikan. Khalayak boleh terdiri daripada kumpulan kecil seperti jawatankuasa projek ataupun kumpulan besar seperti peserta seminar dan persidangan.
Kertas kerja juga boleh dibentangkan dalam bentuk lisan. Namun begitu, komunikasi lisan tersebut hanya berperanan menyampaikan maklumat yang memang telah disediakan dalam kertas kerja tersebut atau dengan kata lain menerangkan apa yang terkandung dalam kertas kerja itu.
Apa yang lebih penting ialah hasil penulisan kertas kerja itu sendiri.