DARI MEJA GURU BESAR
Assalamualaikum wbkt
Menguning padi tepian lembah
Dituai besan penuh halaman
Laman rasmi kami persembah
Buat tatapan pengunjung budiman
Terlebih dahulu pada kesempatan ini, saya selaku Guru besar Sekolah kebangsaan Sijangkang yang mewakili Ahli Jawatankuasa PIBG, barisan pendidik dan kakitangan serta para pelajar ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari laman web sekolah ini. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pasukan setiausaha unit-unit induk dengan dibantu oleh penyelaras TS25 dan PSO bersama-sama dengan jawatankuasa Prasekolah dan PPKI kerana dapat berganding bahu dalam membangunkan laman Web Rasmi Sekolah Kebangsaan Sijangkang ini.
Alhamdullillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan taufik dan hidayahNya kita diberi kekuatan untuk terus berdiri teguh dan melangkah dengan gagah bagi merialisasikan visi sekolah iaitu “SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG”
Sebagai pentadbir, saya yakin dan percaya bahawa seluruh warga pendidik Sekolah Kebangsaan Sijangkang telah berusaha dan akan terus berusaha menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab dan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan padu bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, ko-kurikulum demi mendokong misi utama sekolah iaitu “MEMBANGUNKAN POTENSI INDIVIDU MELALUI PENDIDIKAN BERKUALITI” dengan berpandukan motto sekolah “ILMU SULUH HIDUP”
Kesempurnaan pendidikan adalah menjadi tekad kami warga sekolah dengan semangat kerjasama dan pengemblengan tenaga yang padu di samping kepakaran yang sedia ada menjayakan program-program kecemerlangan sekolah untuk dilaksanakan. Sekolah Kebangsaan Sijangkang diharapkan akan terus berjaya melonjakkan keputusan yang cemerlang dalam setiap bidang bagi merealisasikan kebolehan dan bakat murid. Teruskan tekad, gandakan usaha untuk tahun 2023 dengan harapan SK Sijangkang akan terus menempa kecemerlangan
Akhir kata,
Buah bidara dipetik cermat
Bawa ke hilir di atas dulang
Terus berusaha mengejar matlamat
Semoga terlahir generasi terbilang
Sekian, selamat bertugas.
Tn Hj Mohamad Rosli Bin Hj Azhar
Guru besar,
Sekolah Kebangsaan Sijangkang