SEINDAH BICARA SEIKHLAS KATA
SEINDAH BICARA SEIKHLAS KATA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Bangkit Mahkota.
Segala puji bagi Allah kerana keizinanNya kita diberi kekuatan untuk terus berdiri teguh dan melangkah dengan gagah bagi merealisasikan visi sekolah iaitu Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera. Saya yakin dan percaya seluruh pendidik telah berusaha dan akan terus berusaha menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Bekerja sebagai satu pasukan yang kuat bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah ke arah kecemerlangan sekolah kita.
Untuk mencapai kecemerlangan bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi serta perancangan yang disusun rapi. Keperluan murid selaku pelanggan hendaklah dipenuhi dan dicapai dengan jayanya. Justeru itu, guru-guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan mencapai hasil yang diinginkan.
Berbagai usaha kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara seperti mana yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Kita harus buktikan dengan bekerja bersungguh-sungguh. Kita seharusnya memahami dan memenuhi semua kriteria dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM Kualiti@Sekolah).
SK Bukit Mahkota telah mula melaksanakan Program Transformasi Sekolah (TS25) Kohort 6 pada tahun 2021. Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah ini berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kempimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Matlamat terakhirnya setiap sekolah dapat merealisasikan Kemenjadian Murid dan Sekolah Kualiti.
TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui:
#Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan
#Disokong kepimpinan yang berkualiti/berwawasan
#Guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi
#Komitmen komuniti yang padu
Revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) juga telah memberi impak yang besar dalam pendidikan. 6 Teras dalam Pendidikan Digital perlu diimplimentasikan di sekolah:
Teras 1: Murid fasih digital
Teras 2: Pendidik kompeten digital
Teras 3: Budaya kepimpinan digital berwawasan
Teras 4: Pengupayaan infrastruktur dan infostruktur
Teras 5: Kandungan digital berkualiti
Teras 6: Rakan strategik yang komited
Harapan saya, SK Bukit Mahkota mempunyai sumber manusia yang berkualiti dari segi keilmuan, kemahiran serta tinggi sahsiahnya di samping kemudahan pendidikan yang berkualiti dan Insya Allah menjadi tunggak untuk melahirkan insan yang berkualiti yang dapat memenuhi tuntutan dunia dan akhirat.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“MALAYSIA MADANI”
Saya yang menjalankan amanah,
( NORIZAH BINTI MOHAMAD )
Guru Besar
SK Bukit Mahkota