Bismillahirahmanirrahim
Assalammualaikum w.b.t
Salam SEBARU Sejahtera
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya jua kita dipanjang usia serta diberikan keberkatan bagi meneruskan agenda pendidikan khususnya dalam mendidik putera puteri SMKBBSB.
Dalam menelusuri Gelombang ke 3 transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, saya amat berharap agar semua warga SMK Bandar Baru Sungai Buloh telah pun bersedia untuk memberikan komitmen terbaik bagi memastikan visi (PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA) dan misi (MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNTUK MEMBANGUNKAN POTENSI INDIVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA). Kementerian Pendidikan Malaysia dapat dilaksanakan dengan sempurna, lancar dan berkesan. Sebagai pendidik, kita seharusnya tidak boleh memandang remeh tugas serta tanggungjawab yang kita pikul tetapi sebaliknya tetap tabah, sabar dan sentiasa berusaha/istiqamah, memperlihatkan kesungguhan dan keberkesanan dalam setiap kerja buat yang kita lakukan. Cabaran terbesar adalah untuk merealisasikan hasrat yang ingin dicapai dalam Pelan Strategik Organisasi (2021-2025) SMK Bandar Baru Sungai Buloh terutama dalam menghadapi cabaran pengurusan sekolah dan pembelajaran dan pengajaran dalam era normal baharu apabila negara dilanda wabak Covid 19.
Laman Web Pendigitalan Pembelajaran ini merupakan titik tolak untuk kita mengorak langkah menuju kecemerlangan tersebut. Laman web ini medium komunikasi warga sekolah dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan terutama dalam menghadapi cabaran pengurusan sekolah dalam era normal baharu apabila negara dilanda wabak Covid 19. Gerak kerja pdpc kita telah berubah dari 100% pembelajaran secara bersemuka kepada pembelajaran secara digital sama secara dalam talian, luar talian mahu pun secara modular.
Guru-guru juga perlu menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran dan kompetensi dalam teknologi pendidikan yang akan menjadi kerangka tindakan perubahan bagi memantapkan kualiti perkhidmatan mengikut perubahan perdana yang berlaku dalam dunia pendidikan. Inovasi dan amalan-amalan terbaik serta idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif perlu dicetuskan oleh guru dalam organisasi sekolah supaya hasrat PPPM yang menjadikan semua sekolah sebagai Sekolah Berkualiti dan Kemenjadian Murid dapat dicapai.
Saya berharap agar seluruh warga SMK Bandar Baru Sg Buloh dapat merealisasikan semua dasar Kementerian Pendidikan Malaysia untuk kita terus melonjakkan prestasi dan budaya kerja yang cemerlang. Semoga sentuhan keramat kita sebagai pendidik yang tulen akan menjadi kenyataan bagi menghasilkan modal insan terbilang sesuai dengan aspirasi negara. Marilah kita meletakkan SMK BBSB sebagai sebuah institusi pendidikan yang dilimpahi kasih sayang dan rahmah kepada semua warga sekolah serta diberkati oleh Allah SWT.
Akhir sekali jangan dicemburui sama ada besar atau kecil tugas kita dalam organisasi sekolah tetapi fikirlah kesan dan akibat kita tidak melaksanakan tugas tersebut kepada murid, ibu bapa, sekolah dan masyarakat.
SELAMAT MAJU JAYA!
BERSAMA MELANGKAH LEBIH JAUH….
FATIMAH BINTI RESAT
Pengetua