Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), morfologi bermaksud kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan. Dalam bahasa Melayu, morfem adalah unit terkecil dalam bahasa yang mempunyai makna. Morfem boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu morfem bebas dan morfem terikat (Kho, 2019). Morfem bebas ialah morfem yang boleh berdiri sendiri sebagai kata dan mempunyai makna penuh tanpa perlu digabungkan dengan morfem lain seperti buku, lari, makan dan rumah. Morfem terikat pula bermaksud morfem yang tidak boleh berdiri sendiri dan hanya mempunyai makna apabila digabungkan dengan morfem lain. Kebiasaannya morfem terikat ini adalah berbentuk imbuhan seperti me-, -kan dan per-.
Dari segi pembinaan kata, bahasa Melayu mempunyai sistem yang tersusun dalam membentuk perkataan baharu untuk memenuhi keperluan komunikasi. Pembinaan kata ini penting untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Hal ini juga membantu memperkayakan kosa kata serta meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Oleh itu, melalui sistem pembinaan kata yang dinamik, bahasa Melayu kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia moden.
Dalam era globalisasi dan perkembangan pesat teknologi maklumat, bahasa Melayu mengalami penyerapan pelbagai istilah baharu yang dipengaruhi oleh bahasa asing. Proses ini sering melibatkan penggunaan imbuhan daripada bahasa seperti Sanskrit, Arab-Parsi, Yunani-Latin dan Inggeris dalam pembentukan kata baharu. Namun, penggunaan imbuhan asing ini kadang kala menimbulkan kesalahan bahasa dalam media elektronik dan media cetak yang boleh mengelirukan pembaca serta menjejaskan kejelasan komunikasi. Â