Kata-kata Aluan
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kejayaan menganjurkan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi tahun 2022.
Kejohanan MSSM yang diadakan saban tahun memberi peluang kepada murid menyertai aktiviti menyeronokkan di samping dapat mencungkil bakat dan potensi atlet murid yang mampu bersaing di peringkat nasional serta antarabangsa. Ini juga sejajar dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan elemen penting dalam kehidupan seperti mewujudkan suasana dan persekitaran sekolah yang selamat, sihat dan seronok untuk semua warga sekolah.
KPM sentiasa menggalakkan pelibatan murid dalam aktiviti sukan dan kokurikulum melalui pelbagai pendekatan bagi menarik minat murid. Aktiviti sebegini dapat memberi ruang untuk murid menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran serta nilai-nilai yang dipelajari dalam bilik darjah. Dalam konteks pentaksiran pula, penglibatan murid dalam kegiatan sukan dan kokurikulum direkod dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang merupakan antara komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Oleh demikian, MSSM dapat menjadi salah satu platform utama dalam membantu sekolah merancang program kokurikulum, khususnya bagi tujuan pembangunan dan kecemerlangan sukan atlet murid.
Saya yakin bahawa pelibatan murid dalam Kejohanan MSSM sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum ini dapat membantu mereka membina sahsiah, jati diri dan karakter, dan seterusnya menjadi generasi pewaris negara yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. KPM komited memberi sepenuh sokongan kepada usaha MSSM dalam menyahut saranan Kerajaan untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat seawal usia mereka, iaitu sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
KPM akan terus mempergiatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang terlibat bagi menyemarakkan lagi penganjuran MSSM. Pendekatan yang dilaksanakan juga perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa agar seiring dengan peredaran zaman serta bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menarik lebih banyak penyertaan atlet murid.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran kejohanan MSSM pada tahun ini. Selamat maju jaya!
DR. RADZI JIDIN
Kata-kata Aluan
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.
Saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam buku program ini. Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalas tanggungjawab menganjurkan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia Kali Ke-62.
Penganjuran kejohanan MSSM ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada atlet murid untuk mengembangkan bakat sukan dan menonjolkan potensi diri selaras dengan hasrat Dasar Sukan Negara untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mempunyai sahsiah yang positif, komitmen diri yang tinggi dan berdaya saing. Melalui penganjuran kejohanan ini juga, secara tidak langsung dapat memberikan impak yang positif kepada keberhasilan atlet murid dan menggalakkan pertandingan yang sihat, sikap muhibah serta toleransi yang tinggi, persefahaman, pembinaan kualiti moral dan fizikal yang berterusan seperti mana yang terkandung dalam Dasar Sukan Negara.
Pada peringkat KPM, MSSM merupakan watak utama dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan atlet murid di peringkat akar umbi yang bermula dengan hasrat 'Sukan Untuk Semua' di bawah Dasar 1Murid 1Sukan sehinggalah kepada aspirasi Sukan Untuk Kecemerlangan di bawah Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah.
Ketelusan dan tadbir urus yang baik hendaklah sentiasa diamal serta diutamakan pada setiap masa dalam penganjuran kejohanan sukan bagi meningkatkan kualiti pengurusan MSSM pada kali ini. Justeru, semua aspek pengelolaan kejohanan hendaklah dilaksanakan dengan nilai akauntabiliti yang tinggi serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Akhir kata, syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran dan pengelolaan kejohanan ini kerana telah melaksanakan tanggungjawab dengan berdedikasi dan cemerlang. Semoga kejohanan MSSM tahun 2022 ini berlangsung dengan jaya dan mencapai matlamatnya.
Sekian, terima kasih.
DATUK YUSRAN SHAH BIN MOHD YUSOF
Kata-kata Aluan
KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberikan ruang dan peluang untuk menitipkan ucapan dalam buku program Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi tahun 2022 yang penuh bermakna ini. Sudah pastinya segala usaha yang telah dimainkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal diterjemahkan dalam kejohanan yang bakal berlangsung di seluruh negara untuk murid-murid sekolah menyerlahkan bakat mereka dalam bidang sukan yang diceburi.
Tahniah juga diucapkan atas usaha anak-anak ini yang telah bertanding di peringkat sekolah, daerah dan seterusnya di peringkat negeri dengan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan mutu sukan di tanah air. Sudah pastinya peranan guru dalam melatih atlet murid dalam kemahiran sukan tertentu tidak ternilai harganya. Pada masa yang sama, aspek akademik sudah pastinya tidak pernah diketepikan kerana dengan pendidikan kita dapat melahirkan atlet yang mampu berfikir pada aras yang lebih tinggi.
Di samping itu juga, 14 elemen yang terdapat dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA sudah pasti dapat diterapkan dalam aktiviti bersukan sama ada semasa menjalani latihan mahupun semasa menyertai pertandingan. Aspek sosial murid dapat ditingkatkan selari dengan perkembangan jasmani dan emosi kerana dalam sukan itu sendiri banyak menerapkan nilai-nilai yang saling berkait.
Sebelum menutup bicara, syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan MSSM Kali Ke-62 pada tahun ini. Sesungguhnya, tanpa usaha sama semua pihak segala yang direncanakan itu sudah pastinya tidak membuahkan hasil seperti yang dihasratkan. Selamat maju jaya kepada semua atlet murid yang bakal bertanding dalam kejohanan pada tahun ini. Anda semua ialah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) yang bakal menjadi generasi pewaris negara pada masa hadapan. Selamat maju jaya!
KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Kata-kata Aluan
PENGARAH BAHAGIAN SUKAN, KOKURIKULUM DAN KESENIAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.
Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian sentiasa berusaha untuk memberi ruang dan peluang kepada murid melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Kokurikulum merupakan wadah paling berkesan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terutamanya dalam konteks melahirkan murid seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bagi mencungkil bakat dan potensi murid dalam bidang sukan, usaha ini dijana melalui pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan yang mana dasar ini mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Selaras dengan hasrat ini juga, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan inisiatif berterusan demi meningkatkan pelibatan murid terutamanya dalam sukan prestasi tinggi sekolah. Antaranya melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan bagi mengupayakan minat dan kecenderungan murid dalam bidang sukan.
Justeru, Bahagian ini telah mengambil langkah yang proaktif dengan menghasilkan Pelan Pendidikan Sukan Negara (PPSN) 2021-2030 sebagai usaha untuk meningkatkan aspek kemenjadian dan keberhasilan atlet murid dalam bidang sukan secara keseluruhannya. Malah, KPM juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar bagi memastikan program pembangunan sukan sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan efisien. Maka dengan itu, saya berharap agar peruntukan yang disalurkan ini dapat digunakan sebaik-baiknya dalam membangunkan dan melahirkan atlet murid yang cemerlang dalam bidang sukan dan memberikan pulangan serta impak yang positif terhadap KPM dan negara.
Dalam pada itu, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) memainkan peranan yang amat besar untuk menggilap potensi dan menghasilkan atlet murid yang cemerlang dalam sukan. Bagi penganjuran dan pengeloiaan Kejohanan MSSM pada tahun ini, KPM telah bersetuju agar kejohanan MSSM dilaksanakan secara bersemuka setelah berakhirnya pandemik Covid-19 di negara ini. Dengan pelaksanaan kejohanan secara bersemuka ini, diharapkan agar semua pihak yang terlibat dapat memberikan penekanan kepada nilai dan budaya kerja yang cemerlang dan berintegriti. Melalui nilai kerja yang terpuji, saya yakin segala aspek positif dapat diserap dalam tadbir urus kejohanan bagi memastikan penganjuran program yang terbaik dan cemerlang.
Di sini, saya juga mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha menjayakan kejohanan MSSM tahun 2022. Semoga segala usaha kita merealisasikan harapan untuk meningkatkan aspek kemenjadian dan keberhasilan atlet murid dalam arena sukan khususnya KPM dapat dicapai sepenuhnya dengan cemerlang demi kelestarian sukan negara amnya.
Kata-kata Aluan
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk mengelolakan kejohanan sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada tahun 2022 khasnya bagi Kejohanan Ragbi dan Bola Tampar Tahun 2022.
Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah yang mana menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, aktiviti kesukanan adalah sebagai pemangkin dalam memacukan transformasi pendidikan holistik ke arah dalam Mengoptimumkan Potensi dan Memaksimumkan Keberhasilan.
Sukan merupakan wadah yang dapat menjana integrasi kaum secara berkesan dan akan dapat mengeratkan persahabatan seiring dalam pembentukan disiplin kendiri dan semangat berpasukan yang tinggi. Disamping itu, sukan juga dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman. Sesungguhnya kecemerlangan dalam kedua-dua bidang akademik dan sukan akan melahirkan bakal pemimpin yang mempunyai sahsiah dan jati diri serta berketerampilan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan usaha bagi menjayakan Kejohanan Ragbi dan Bola Tampar Tahun 2022 yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Akhir kata, saya mengharapkan dengan kejohanan yang dijalankan akan melahirkan atlet yang berkualiti, berwawasan dan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
( MD SAID BIN MD DAIMON )
Pengarah Pendidikan Negeri Johor