Sinopsis
Kajian kes adalah kaedah penyelidikan yang biasa digunakan dalam bidang sains sosial dalam bentuk penerangan dan deskritif. Salah satu amalan pedagogi yang penting untuk melaksanakan kajian kes ialah kemahiran inkuiri. Melalui kemahiran inkuiri dalam kajian kes, murid dapat meningkatkan kebolehan mereka untuk mengenal pasti permasalahan, merancang, mengolah isi dan merumus sesuatu permasalahan.
Kajian kes ini mendedahkan dan melatih murid sebagai asas menjalankan kajian mengenai tokoh, tempat dan peristiwa dengan mengumpul data, menganalisis maklumat dan dapatan serta melaporkan dapatan. Kajian kes boleh dilaksanakan secara individu atau berkumpulan yang berpusatkan murid. Bekerja dalam satu kumpulan bagi menyelesaikan sesuatu pembelajaran kes dapat membantu murid membina kemahiran interpersonal dan berkeupayaan untuk bekerja sebagai satu kumpulan. Kebanyakan kajian kes adalah berdasarkan situasi sebenar atau menyerupai situasi sebenar.
Dari aspek pengajaran sejarah, seseorang guru perlu mengetahui objektif sejarah yang hendak ditetapkan dan cara untuk menyampaikan pengajaran sejarah menggunakan kaedah kajian kes agar murid memahami perkara yang disampaikan.
Pada akhir kursus, guru-guru dapat:
Menjelaskan proses pelaksanaan kajian kes dalam konteks mata pelajaran sejarah sekolah rendah.
Memberi pendedahan kepada murid tentang proses kajian kes dalam konteks mata pelajaran sekolah rendah.
Pada akhir kursus, guru-guru dapat:
Melatih murid menjalankan kajian kes mengenai tokoh, tempat dan peristiwa dengan mengumpul data, menganalisis maklumat dan dapatan serta melaporkan dapatan.
Mengaplikasikan kajian kes sebagai satu bentuk pentaksiran berterusan PdP dalam mata pelajaran sejarah sekolah rendah
Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, masih terdapat dalam kalangan guru Sejarah di sekolah rendah yang sukar melaksanakan kajian kes sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sejarah bagi murid-murid Tahap Dua. Walaupun pihak Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah melantik Jurulatih Utama (JU) Sejarah pada peringkat negeri mahupun daerah untuk menyampaikan Kursus Semakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) 2017 namun sebahagian daripada guru Sejarah sekolah rendah masih kurang dapat melaksanakan kajian kes sebagai salah satu kaedah PdP dalam mata pelajaran Sejarah. Masalah ini timbul kerana kekurangan pendedahan tentang isi kandungan kajian kes dan kekurangan aktiviti hands on untuk kaedah PdP ini.
Modul ini menggunakan medium Google Site sebagai platform pembelajaran dalam talian. Guru sejarah sekolah rendah akan ditentukan masa yang sesuai untuk berinteraksi secara langsung dalam talian.
Panduan pelaksanaan interaksi bersemuka secara dalam talian bagi tajuk yang berkaitan disediakan. Walau bagaimanapun, guru sejarah sekolah rendah yang mengajar perlu membuat pembacaan lanjut dan menyediakan bahan atau nota tentang tajuk tersebut untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran. Guru sejarah sekolah rendah boleh berbincang dengan pensyarah melalui email atau alat media yang sesuai jika terdapat masalah berhubung dengan modul ini.
30 jam