Pokok Kari atau nama saintifiknya Murraya Koenigii tergolong dalam keluarga Rutaceae.
Pokok Kari ialah sejenis pokok renek dengan ketinggian antara 0.9 hingga 6 meter. Ia sering ditanam di kawasan sekitar rumah untuk kegunaan sebagai rempah dalam masakan terutamanya dalam masakan kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit.
Daun ini mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat India kerana ia bukan sahaja digunakan dalam masakan kari, malah dalam masakan lain seperti rasam, chutney , muruku dan sebagainya lagi. Berasal dari negara India dan Sri Lanka tumbuhan ini akan hidup subur dalam zon tropika.
Tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. Bunganya kecil berwarna putih kekuningan dan buahnya juga kecil berwarna hijau ketika muda dan ungu setelah matang. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya. Selain ditanam di halaman rumah kerana daunnya ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan.
Ciri daunnya pula adalah pinat (pinnate) iaitu majmuk dengan anak daun tersusun pada satu rakis.Setiap rakis mempunyai 11 hingga 21 daun dengan setiap daun berukuran dua sentimeter lebar dan empat sentimeter panjang.
Pokok kari juga menghasilkan bunga kecil berwarna putih yang melalui proses pendebungaan sendiri dan menghasilkan biji benih berbentuk beri berwarna hitam.Walaupun pulpa beri yang mempunyai rasa manis seperti ubat itu dipercayai boleh dimakan namun, ia jarang digunakan dalam masakan.Komponen pokok yang sering digunakan dan sinonim dalam kehidupan seharian adalah daun, akar dan kulit kayu.
Daun kari yang memiliki aroma tersendiri dijadikan bahan masakan khususnya untuk hidangan ala India seperti gulai kari.Selain itu, ia turut dimanfaatkan untuk tujuan kesihatan terutama bagi pengamal Ayurveda kerana dipercayai mempunyai kelebihan seperti anti diabetes dan anti oksida selain berupaya melindungi hati daripada kerosakan.
Antara khasiat pemakanan dipercayai terkandung dalam daun kari adalah karbohidrat, tenaga, serat, kalsium, zat besi, mineral dan pelbagai vitamin seperti C, A, B dan E.Selain dijadikan bahan masakan dan perubatan, ciri daun yang tinggi aroma itu menciptakan pelbagai produk lain seperti sabun, losyen, pewangi rumah, minyak wangi dan produk penjagaan rambut.Di samping itu, akar pokok kari turut digunakan untuk merawat sakit badan manakala kulit kayu digunakan untuk menyembuh kesan gigitan ular.