Makhraj
Makhraj bermaksud tempat keluar sebutan huruf-huruf hijaiyah.
Terdapat 5 pembahagian umum makhraj huruf ini, iaitu:
Al-Halq
– Ia bermaksud kerongkong tekak atau halkum.
– Terdapat 3 bahagian khusus yang terdiri daripada 6 huruf Al-Halq:
a) Pangkal kerongkong: (ه ء)
b) Tengah kerongkong ( ح ع)
c) Hujung Kerongkong ( خ غ)
Al-Lisan
– Al-Lisan bermaksud lidah, di mana ia dikeluarkan di bahagian lidah.
– Makhraj lidah terbahagi kepada 10 bahagian, iaitu:
a) Pangkal lidah, berhampiran dengan kerongkong menyentuh bahagian anak tekak: ( ق)
b) Pangkal lidah menyentuh lelangit belakang: ( ك)
c)Tengah lidah ditekan ke lelangit atas: ( ي ج ش)
d)Tepi atau sisi lidah (kiri atau kanan) dirapatkan pada gigi geraham atas (bahagian dalam): ( ض )
e) Hujung lidah ditekan ke gusi di atas gigi depan (bahagian dalam): ( ل)
f) Hujung lidah ditekan ke lelangit depan, sedikit ke belakang dari makhraj huruf Lam: ( ن )
g) Hujung lidah diangkat ke lelangit atas, serta dilengkungkan sehingga terlihat lidah bahagian belakang: ( ر)
h)Hujung lidah diletakkan ke belakang gigi depan bahagian bawah: ( س ز ص)
i)Hujung lidah ditekan ke pangkal gigi depan bahagian atas: ( د ط ت)
j) Hujung lidah dikeluarkan sedikit dan ditekan di hujung gigi depan bahagian atas: ( ذ ث ظ)
As-Syafatain
– Ia bermaksud bibir mulut, di mana ia dikeluarkan di bibir mulut.
– 2 bahagian khusus makhraj ini:
a) Bibir Bawah ditekan ke Gigi Kapak bahagian atas: ( ف)
b) Bibir Bawah dan Atas posisi rapat: (ب م و )
Al-Jauf
– Ia bermaksud mengeluarkan huruf di rongga mulut.
– Terdapat 3 huruf mad keluar dari rongga mulut iaitu: (ي و ا)
Al-Khaisyum
– Ia bermaksud huruf yang terkeluar dari rongga hidung.
– Ia khusus untuk ghunnah, dengung yang hanya berlaku pada huruf mim dan nun berbaris mati dan syaddah (sabdu) sahaja.