Tn Hj Shahilon bin Abd Halim,
Timbalan Pengarah,
Sektor Pembelajaran, JPN Johor.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya saya diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan Sekapur Sireh ini. Sekalung ucapan tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Penyelaras KBAT JPN Johor dan semua pihak atas penghasilan laman web Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Segala komitmen ini merupakan usaha murni yang amat bernilai dalam usaha memastikan segala maklumat berkaitan dengan KBAT dapat disampaikan ke semua warga pendidik bermula di peringkat jabatan sehinggalah ke peringkat sekolah demi memantapkan lagi pembudayaan KBAT di negeri Johor.
Kemahiran Berfikir yang terkandung dalam Aspirasi Murid, PPPM 2013-2025 juga menekankan murid yang mampu menguasai kemahiran Abad ke-21 (PAK21) dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif dan mampu bersaing di peringkat global. Jabatan Pendidikan Negeri Johor berharap agar laman web ini dapat digunakan oleh warga pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai elemen-elemen KBAT di peringkat sekolah, pengajian tinggi dan di alam kerjaya bagi menangani masalah yang dihadapi setiap hari demi menghasilkan modal insan yang kompeten untuk membuat pertimbangan dan penilaian dalam menyelesaikan masalah.
Laman web ini amat sesuai dijadikan rujukan oleh warga pendidik dan ibu bapa, malah penting untuk dirujuk oleh pegawai-pegawai yang berada di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memandangkan laman web ini mengandungi pelbagai informasi yang berguna berkenaan aktiviti dan pembudayaan KBAT di negeri ini. Selain itu, web ini turut mengandungi maklumat penyelaras KBAT di peringkat negeri dan sekolah yang boleh dijadikan sebagai satu jaringan kerjasama secara kolektif demi memastikan setiap maklumat berkaitan KBAT tidak mengalami kecairan pada tahap-tahap tertentu.
Saya berharap, dengan adanya data-data status sekolah penarafan cemerlang KBAT, ianya dapat memberikan panduan kepada semua pihak untuk berkongsi idea dan amalan terbaik di samping mencari pelbagai intervensi dan idea-idea baharu bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi murid-murid negeri Johor Darul Ta’zim demi memenuhi visi pendidikan dan aspirasi murid untuk keperluan negara pada masa hadapan. Sekian, terima kasih.
Luaskan KBATmu Johor!
Tn Hj Amiruddin bin Abd Manaf, KPPK Sains dan Matematik
En Kamarudin bin Abu, KPPK TVET
En Vijayan A/L Ramasamy, KPPK Sains Sosial
Pn Rokiah binti Ahmad, KPPK Bahasa
Pn Nor Haliza binti Saibun, KPPK TMK