PAJSK adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan serta mengukur penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum. PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid. PAJSK dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia supaya lebih holistik dan bersepadu. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.