KIBI atau nama panjangnya Kamus Interaktif Bahasa Isyarat adalah satu inovasi sumber rujukan isyarat yang terdiri daripada media elektronik sebagai panduan kepada pelajar ketidakupayaan pendengaran serta guru dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) Sains dan Bahasa Melayu. KIBI menyediakan kompilasi isyarat Sains dan Bahasa Melayu yang komprehensif berdasarkan sumber rujukan utama iaitu Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP). Format media elektronik KIBI adalah dalam bentuk perisian PowerPoint yang dilengkapi dengan panduan audio, video dan grafik untuk menyokong isyarat yang telah dikumpulkan bagi membantu pelajar untuk memahami isyarat yang berkaitan.
KIBI bukan sahaja dilengkapi dengan nota berbentuk tulisan, malah inovasi ini juga mengandungi gambar berwarna. Oleh itu, pelajar berkeperluan khas ketidakupayaan pendengaran akan lebih tertarik dan bermotivasi untuk mempelajari mata pelajaran Sains dan Bahasa Melayu ini. Sumber rujukan KIBI yang berpandukan kepada satu sumber ini boleh juga digunakan secara individu dan secara berkumpulan mengikut kesesuaian pencapaian dan keperluan pengguna.