Di Malaysia antara satu usaha yang berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan pencapaian akademik murid ialah murid diterapkan dengan pendidikan yang berteraskan konsep keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Sehubungan dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan generasi yang dapat berdaya saing di peringkat global, pendidikan kini berfokuskan mengembangkan potensi individu ke arah kecemerlangan akademik dan mempunyai kepelbagaian kemahiran secara holistik. Oleh hal yang demikian berlakunya perkembangan pendidikan dalam negara Malaysia. Dapat diperhatikan bahawa pelbagai pendekatan yang baharu diperkenalkan bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang.
