BUKU KEPUTUSAN RASMI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam usaha memaksimakan potensi dan bakat murid dalam bidang sukan bagi melahirkan modal insan secara menyeluruh untuk memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Selaras dengan itu, KPM melalui Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sekali lagi berjaya menganjurkan kejohanan berprestij bagi tahun 2023 yang melibatkan 24 jenis sukan.
Penganjuran ini bukan sahaja membuka peluang kepada murid untuk beraksi pada pelbagai peringkat bermula daripada akar umbi, malah dapat melahirkan lebih ramai jaguh sukan negara di persada antarabangsa. Melalui MSSM, telah memberi impak yang besar terhadap penerapan nilai dan akhlak dalam membentuk murid yang holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Hal ini juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang sedang dilaksanakan oleh KPM, yang berhasrat untuk mencapai enam (6) aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Justeru, bagi mencapai aspirasi murid ini, ia turut disokong dengan pelaksanaan tujuh teras utama KPM. Melalui teras kedua, KPM sentiasa berusaha untuk membudayakan amalan baik dengan menekankan aspek karamah insaniah, disamping dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid. Oleh itu, kesungguhan MSSM dalam memastikan pembangunan dan kecemerlangan sukan dilaksana secara terancang, akan menjadi kunci kejayaan kepada pendidikan sukan pada masa hadapan. KPM akan terus mempergiatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang terlibat bagi menyemarakkan lagi penganjuran MSSM. Pendekatan yang dilaksanakan juga perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa agar seiring dengan peredaran zaman serta bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menarik lebih banyak penyertaan atlet murid.
Di kesempatan ini, ingin saya mengucapkan selamat berjuang kepada semua yang terlibat dalam MSSM dan berharap segala penat lelah dalam mengharungi kejohanan ini dapat membuahkan hasil yang cemerlang. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada MSSM. Teruskan usaha murni MSSM ke arah meningkatkan mutu sukan negara.
“SUKAN NADI ABC” - FADHLINA SIDEK
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Anak yang Baik lagi Cerdik Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku Sekretariat MSSM atas penganjuran Kejohanan MSSM Tahun 2023 dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri. KPM telah mencapai tahap yang membanggakan dalam usaha mengerakkan program pembangunan sukan bermula pada peringkat sekolah. Hal ini terbukti dengan kelahiran ramai jaguh sukan MSSM pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia. Sesungguhnya, MSSM merupakan platform pencarian bakat murid yang tepat dalam bidang sukan.
Melalui program yang berstruktur, tenaga pengajar yang efektif dan kemudahan sukan yang baik, saya yakin MSSM akan melangkah lebih jauh lagi untuk melahirkan lebih ramai atlet murid berprestasi tinggi yang cemerlang. Selaras dengan aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, MSSM menjadi fokus utama khususnya dalam bidang sukan untuk membentuk keberhasilan murid secara holistik. KPM sangat menitikberatkan pembangunan adab, akhlak dan integriti bagi membentuk modal insan yang seimbang dan cemerlang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Oleh itu, penerapan aspek karamah insaniah kepada murid melalui sukan adalah bersesuaian dengan tema kejohanan tahun ini iaitu Sukan Nadi ABC. Kejohanan ini berperanan sebagai penggerak bagi memastikan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dapat dilahirkan dalam usaha membangunkan Malaysia Madani. Bagi memastikan MSSM sentiasa mencapai kegemilangan, pelibatan aktif ibu bapa, masyarakat, pihak swasta dan badan sukan sentiasa dialu-alukan dalam usaha memacu kecemerlangan sukan negara kita.
Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada sekretariat MSSM, murid, warga pendidik, pemimpin sekolah dan semua pihak terlibat yang telah menjayakan kejohanan MSSM ini. Semoga penganjuran kali ini membawa kecemerlangan dan manfaat kepada semua murid serta negara Malaysia.
DATUK HAJI PKHARUDDIN BIN HAJI GHAZAL
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang dianjurkan setiap tahun merupakan salah satu medan untuk murid mempamerkan kebolehan serta menyerlahkan bakat dalam bidang sukan. Aspirasi ini selaras dengan Hala Tuju Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu memberi ruang dan peluang sama rata kepada murid untuk mengembangkan bakat dan potensi diri ke tahap yang paling tinggi. Bermula dengan kejohanan peringkat sekolah, daerah, negeri dan seterusnya kebangsaan, KPM sentiasa memastikan semua murid melalui program berbentuk penggalakkan, pembangunan dan seterusnya kecemerlangan dalam usaha mencapai gelaran jaguh sukan.
MSSM turut menjadi platform terbaik untuk penerapan adab, akhlak dan integriti selaras dengan tema Sukan Nadi ABC. Besar harapan saya untuk melihat atlet murid kelahiran MSSM mempunyai keperibadian dan jati diri yang tinggi serta boleh mencapai kejayaan seiring sebagai jaguh sukan dan akademik.
Akhir kata, Hanya Usaha Luar Biasa Akan Memberikan Hasil Yang Luar Biasa.
ZAINUREN BIN HJ. MOHD NOR