Pengenalan
Fungsi sastera melayu merujuk kepada peranan dan kepentingan karya sastera dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu hingga kini. Sastera melayu bukan sekadar hasil seni bahasa, malah menjadi wahana untuk menyampaikan nilai, pemikiran, pengalaman dan pandangan hidup bagi sesebuah masyarakat. Dari segi fungsinya, sastera Melayu boleh berperanan sebagai alat pendidikan, hiburan, dakwah dan kritikan sosial. Dalam sebuah cerita rakyat, terdapat unsur pengajaran yang dapat diperoleh oleh masyarakat dalam membentuk sahsiah dan memahami nilai budaya serta sejarah bangsa. Hal ini sama maksud dengan pandangan Muhammad Haji Salleh yang menyatakan bahawa sastera ialah cerminan kehidupan manusia yang mengandungi makna dan falsafah tertentu. Secara keseluruhannya, fungsi kesusasteraan Melayu sangat penting dalam membentuk jati diri dan memperkukuh bahasa serta warisan budaya bangsa.
Fungsi kesusasteraan Melayu juga boleh difahami melalui pandangan beberapa tokoh sarjana tempatan:
Menurut Mohamad Mokhtar Hassan (2005), kesusasteraan Melayu berfungsi sebagai medium pembinaan insan dan masyarakat yang berakhlak. Beliau menegaskan bahawa karya sastera mengandungi unsur pengajaran, nasihat dan sindiran yang bertujuan untuk membimbing pembaca ke arah kebaikan. Selain berperanan sebagai hiburan yang berestetika, sastera juga menjadi alat perpaduan dan pengukuh jati diri bangsa kerana terdapat nilai sejarah, adat dan budaya sesuatu masyarakat yang terkandung di dalamnya.
Menurut beliau, kesusasteraan Melayu berfungsi sebagai wadah yang mencerminkan pengalaman, pemikiran dan perasaan masyarakat Melayu. Beliau melihat sastera bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai hasil ciptaan seni yang mempunyai nilai intelektual dan estetik. Melalui karya sastera, pengarang menyatakan realiti kehidupan bagi menyampaikan falsafah dan membentuk kesedaran sosial. Oleh itu, Fungsi sastera ialah alat pendidikan , alat untuk menyampaikan nilai budaya dan medium untuk memperhaluskan budi pekerti serta pemikiran masyarakat.