Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera,
Syukur alhamdulillah dengan penerbitan katalog JKR Pre-Approved Plans (PAP): SIRI KE - 3 EDISI KETIGA merupakan kesinambungan kepada siri katalog PAP sedia ada yang mampu memberikan lebih banyak variasi dan pilihan reka bentuk untuk disesuaikan dengan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Katalog reka bentuk PAP merupakan dokumen rujukan pihak Agensi Pelanggan untuk permohonan pewujudan projek RMKe-12 seperti digariskan Pekeliling Perolehan Kerajaan terkini, iaitu Pelaksanaan Pre-Approved Plans (PAP) PK1.11 berkuatkuasa November 2022 yang mana Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mewajibkan semua agensi kerajaan mengguna pakai reka bentuk PAP.
Penerbitan Katalog Siri Ke-3 Edisi Ketiga ini juga disediakan selaras dengan “Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025: Prospek Ekonomi, Kerangka Keberhasilan Bersepadu Nasional Serta Perancangan Dan Pelaksanaan Projek Pembangunan” di mana setiap Kementerian dan Agensi wajib menggunakan Pre-Approved Plans (PAP) bangunan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Justeru, JKR sentiasa komited dalam mengemaskini, menambah baik serta memperbanyakkan lagi koleksi pilihan reka bentuk bangunan PAP dari semasa ke semasa terutamanya dalam memberikan perkhidmatan reka bentuk bangunan yang optimum.
Sehingga versi ini diterbitkan, JKR Malaysia telah berjaya menghasilkan 19 bilangan reka bentuk bangunan PAP baharu. Ini menjadikan koleksi reka bentuk bangunan PAP terkini berjumlah 248 bilangan, sepertimana dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Pemandu JKR Malaysia dan di peringkat Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai (BPN), Kementerian Ekonomi.
Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penerbitan katalog JKR Pre-Approved Plans (PAP) : SIRI KE - 3 EDISI KETIGA ini selaras dengan komitmen JKR untuk terus komited dalam memperkasa sinergi penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Selamat datang ke Laman Web Rasmi JKR Pre-Approved Plans (PAP), sebuah platform digital yang dibangunkan bagi memudahkan capaian maklumat, rujukan serta penggunaan reka bentuk bangunan PAP oleh Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan.
Inisiatif Pre-Approved Plans (PAP) merupakan pendekatan strategik Kerajaan dalam mempertingkatkan kecekapan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan seterusnya Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) . Seiring dengan Pekeliling Perolehan Kerajaan PK1.11, penggunaan reka bentuk PAP telah diwajibkan bagi memastikan pematuhan kepada standard, kualiti serta nilai terbaik dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Laman web PAP ini diwujudkan sebagai pusat rujukan sehenti yang menyediakan maklumat berkaitan koleksi reka bentuk bangunan PAP, garis panduan pelaksanaan, serta maklumat sokongan yang relevan kepada Agensi Pelanggan dan pihak berkepentingan. Platform ini juga mencerminkan komitmen JKR Malaysia dalam mendigitalkan perkhidmatan serta meningkatkan ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan reka bentuk bangunan kerajaan.
JKR Malaysia, khususnya melalui Sektor Pakar, akan terus komited dalam memperkasa inisiatif PAP dengan mengemaskini kandungan, menambah baik sistem serta memperluaskan koleksi reka bentuk bangunan dari semasa ke semasa, selaras dengan keperluan semasa dan hala tuju pembangunan negara.
Saya berharap laman web ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna sebagai medium rujukan yang berkesan dan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan secara lebih sistematik, mampan dan berimpak tinggi.
Sekian, terima kasih.