Penerbitan “Kias dan Kalbu: Koleksi Pantun Pendidik” atas kegigihan dan dedikasi guru-guru Malaysia dan guru pelatih IPGM Kampus Perlis. Koleksi pantun ini bukan hanya sekadar kompilasi karya pelajar, tetapi koleksi ini merupakan manifestasi suara hati yang diterjemahkan dalam bentuk seni sastera oleh para pendidik dari seluruh Malaysia. Koleksi pantun yang disumbangkan ini menjadi satu motivasi buat pembaca dan warga pendidik khususnya.
Buku yang berjudul Bila Hati Berbisik: Antologi Puisi ini telah diselenggarakan oleh barisan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis. Penerbitan buku ini merupakan rentetan daripada pelaksanaan Program Jelajah Puisi Moden: Wacana Penulisan Kreatif bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaaan Peringkat Negeri Perlis tahun 2023 anjuran bersama antara IPGM Kampus Perlis dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antologi puisi ini merupakan sebuah karya yang dihasilkan sepenuhnya oleh para peserta bengkel untuk memerihalkan tentang jiwa dan alam dengan penerapan seni sastera dan bahasa dalam kalangan guru pelatih Bahasa Melayu yang telah diterjemahkan dalam bentuk penghasilan puisi moden. Penerbitan buku ini amatlah istimewa kerana rata-rata peserta yang menghasilkan puisi ini tidak mempunyai latar belakang menulis hasil karya kreatif khususnya sajak, sekali gus menjadi penanda aras bahawa pelaksanaan Program Jelajah Puisi Moden: Wacana Penulisan Kreatif ini mencapai matlamatnya.
Diharapkan dengan terhasilnya antologi puisi yang bertajuk Bila Hati Berbisik: Antologi Puisi ini menjadi titik permulaan kepada para pelajar untuk mempertingkatkan kemahiran berkarya dan menggilap bakat-bakat terpendam dengan menghantar karya-karya kreatif di media massa yang bersesuaian.
Buku "Revolusi Pendidikan Bahasa Melayu: Perspektif Penyelidik Muda" merupakan sebuah kompilasi kajian ilmiah yang menelusuri pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Hasil penulisan ini menghimpunkan pelbagai penyelidikan yang dijalankan oleh siswa guru Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis, yang memberikan gambaran menyeluruh terhadap cabaran, strategi, serta inovasi dalam pengajaran Bahasa Melayu, sejajar dengan tuntutan pendidikan abad ke-21.
Secara keseluruhan, buku ini mengandungi kajian yang merangkumi motivasi guru, penggunaan teknologi dalam pembelajaran, pengintegrasian kaedah inovatif seperti pembelajaran koperatif, gamifikasi, dan humor, serta cabaran dalam pengajaran kemahiran bahasa seperti mendengar bertutur, membaca, dan menulis. Selain itu, terdapat juga kajian berkaitan dengan penggunaan dialek, kesalahan bahasa dalam kalangan murid, dan tahap penguasaan komunikasi bagi murid bukan penutur jati.
Beberapa kajian menonjolkan penggunaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), bahan bantu mengajar (BBM) multimedia, serta aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam bilik darjah sebagai strategi untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran turut diperjelas. Selain itu, kajian mengenai penggunaan bahan bacaan, minat murid terhadap aktiviti komunikasi, serta pelaksanaan modul pembelajaran seperti MoLIB turut memberi perspektif baharu dalam memperkaya kaedah pengajaran Bahasa Melayu.
Keunikan buku ini terletak pada kepelbagaian perspektif yang dibawa oleh siswa guru sebagai penyelidik muda, yang bukan sahaja mengenal pasti isu dalam pengajaran Bahasa Melayu tetapi juga menawarkan penyelesaian berasaskan kajian empirikal. Oleh itu, buku ini bukan sekadar rujukan akademik, malah boleh dijadikan panduan praktikal bagi pendidik, penyelidik, dan pelajar yang ingin memahami lebih mendalam tentang dinamika pendidikan Bahasa Melayu di sekolah rendah.
Buku ini merupakan hasil usaha kolektif bagi menyelami dan menambah baik pendekatan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah. Melalui 13 bab yang komprehensif, pelbagai aspek penting pendidikan Bahasa Melayu diketengahkan, merangkumi inovasi, strategi pedagogi, dan aplikasi teknologi yang relevan untuk era pendidikan moden.
Bab pertama mengupas penerapan elemen didik hibur melalui kemahiran membaca, khusus untuk membantu murid tahap pencapaian minimum. Pendekatan seperti lakonan, nyanyian, dan permainan bahasa diintegrasikan untuk meningkatkan motivasi dan penglibatan aktif murid, menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
Bab kedua memberi fokus kepada pelaksanaan pedagogi terbeza dalam pengajaran kemahiran menulis. Dengan menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan murid yang pelbagai aras kognitif, bab ini turut menggariskan cabaran dan strategi yang perlu diambil kira oleh guru untuk menjayakan kaedah ini.
Bab ketiga mengetengahkan pengaplikasian Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dalam pengajaran Bahasa Melayu. Elemen seperti nilai murni, patriotisme, dan kelestarian global diterapkan untuk melahirkan generasi yang holistik dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi pendidikan nasional.
Bab keempat menyoroti kepentingan penggunaan bahan multimedia dalam meningkatkan motivasi murid. Dengan menggabungkan elemen audio, video, dan grafik, bahan multimedia terbukti mampu menghidupkan sesi pengajaran dan meningkatkan tumpuan serta semangat belajar murid.
Bab kelima pula membincangkan pengaplikasian multimedia dalam membantu murid menguasai peribahasa. Pendekatan ini bukan sahaja merangsang minat murid terhadap keindahan peribahasa Melayu, tetapi juga memastikan warisan bahasa ini terus dipelihara.
Bab keenam meneliti isu kerancuan bahasa dalam penulisan karangan. Analisis mendalam terhadap faktor penyebab dan langkah-langkah penyelesaian yang disarankan diharapkan dapat membantu meningkatkan kecekapan murid dalam menghasilkan karangan yang berkualiti.
Bab ketujuh membincangkan strategi pembelajaran membaca yang sesuai untuk murid cemerlang dan lemah. Penekanan diberikan kepada kaedah yang dapat membantu murid mencapai potensi penuh mereka tanpa mengira tahap pencapaian.
Bab kelapan memfokuskan kepada kemahiran guru dalam menerapkan elemen didik hibur. Kemahiran ini dianggap penting untuk memastikan proses pengajaran lebih menyeronokkan dan mampu menarik minat murid.
Bab kesembilan mengetengahkan kaedah Think-Pair-Share dalam pengajaran kemahiran menulis. Pendekatan ini memperkukuh interaksi antara murid sambil menggalakkan pemikiran kritis dan kolaboratif.
Bab kesepuluh membincangkan integrasi ilmu Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) dalam pengajaran Bahasa Melayu. Langkah ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan murid sambil memanfaatkan pengajaran kontekstual.
Bab kesebelas menyoroti cabaran yang dihadapi murid bukan penutur asli dalam menulis karangan Bahasa Melayu. Strategi yang disarankan diharapkan dapat meningkatkan minat dan kemampuan mereka dalam aspek penulisan.
Bab dua belas mengetengahkan efikasi guru dalam menerapkan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam proses pengajaran. Keupayaan ini dilihat penting untuk menyokong pembelajaran era digital yang semakin mencabar.
Bab terakhir membincangkan amalan set induksi oleh guru Bahasa Melayu. Penekanan diberikan kepada teknik yang dapat menarik perhatian murid, menjadikan permulaan sesi pembelajaran lebih dinamik dan berkesan.