JABATAN ILMU PENDIDIKAN
IPG KAMPUS ILMU KHAS
LATAR BELAKANG
Amalan dalam Pedagogi Inklusif amat sesuai untuk murid-murid berkeperluan khusus kerana mereka akan belajar hasil daripada interaksi dengan murid-murid lain dari aspek sosial dan emosi. Bagi murid-murid aliran perdana, pedagogi ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar berempati, bersikap membantu dan memiliki sikap ambil tahu.
Sebuah masyarakat yang melaksanakan kehidupan secara inklusif mempunyai keyakinan bahawa hidup dan belajar bersama adalah cara hidup (way of life) terbaik, dan menguntungkan semua orang kerana amalan inklusif ini dapat menerima dan memberi respon setiap keperluan individu.
Analisis Keperluan (TNA)
Pengurusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) telah merancang pelan tindakan untuk mencapai hasrat tersebut. Sebagai langkah pertamanya, kajian mengenai aspek-aspek relevan berkaitan dengan Pedagogi Inklusif telah dijalankan. Jabatan Ilmu Pendidikan (JIP) IPGKIK telah diamanahkan untuk menguruskan kajian ini. Sebanyak 20 kajian telah dijalankan yang meliputi pelbagai disiplin oleh jabatan akademik IPGKIK.
Dapatan kajian tersebut dapat dirumuskan bahawa guru mempunyai kefahaman dan pengetahuan yang cetek tentang Pedagogi Inklusif. Kompetensi seperti kemahiran dan pengetahuan mereka adalah minima dan patut diberi pendedahan lanjut. Namun, mereka bersedia untuk melaksanakan Pedagogi Inklusif. Terdapat dua perbezaan aplikasian pedagogi antara guru novis dengan guru berpengalaman. Guru berpengalaman masih mengamalkan teknik yang agak biasa iaitu teknik soal-jawab, dan tunjuk cara. Manakala guru novis, menggunakan teknik perbincangan, koperatif dan kolaboratif, serta sumbangsaran dalam PdPc. Dapatan ini menunjukkan guru perlu mempertingkatkan lagi kompetensi dan kemahiran dalam melaksanakan kepelbagaian aktiviti PdPc agar proses pembelajaran yang efektif dan menyeronokkan murid dapat diwujudkan. Kerjasama guru SISC sangat diperlukan untuk merealisasikan pelaksanaan pedagogi inklusif ini.
Lanjutan daripada kajian-kajian tersebut, satu makmal Pedagogi Inklusif telah ditubuhkan. Melalui makmal tersebut, beberapa usaha telah dijalankan untuk mendapatkan satu gambaran tentang Pedagogi Inklusif. Antara usaha-usaha tersebut ialah perbincangan dengan pengkaji-pengkaji Pedagogi Inklusif dari IPGKIK, sindikasi dengan pemegang taruh dan perbincangan dengan kumpulan pakar pendidikan.
Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), Florian (2009) dan Colbert (2001) jelas menunjukkan Pedagogi Inklusif tidak hanya bertumpu kepada pedagogi yang digunakan dalam pendidikan khas sahaja seperti yang difahami oleh kebanyakan warga pendidik di Malaysia. Maka, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memberi fokus kepada pembangunan model Pedagogi Inklusif dengan harapan penggunaan model ini dapat mengurangkan jurang keciciran yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini.
Objektif Am
Modul latihan ini bertujuan untuk mengurangkan jurang pencapaian dalam pembelajaran. Diharapkan modul ini sebagai dorongan permulaan keprihatinan guru-guru untuk bertanggungjawab mengatasi masalah pembelajaran kelompok yang disasarkan. Elemen-elemen inklusif dalam modul ini akan mengambil alih pendekatan tradisional yang kurang meraikan masalah yang dikenal pasti. Sesungguhnya kanak-kanak ini memerlukan sesuatu ‘yang berbeza’ daripada yang ‘biasa’ diberikan. Kita perlu meraikan ‘perbezaan Individu’. Justeru, melalui modul ini diharapkan agar dapat membina kefahaman dan kesedaran dalam usaha menjadikan Pedagogi Inklusif sebagai amalan di dalam bilik darjah.
Objektif Khusus
Memantapkan pengetahuan dan kemahiran tentang pelaksanaan Pedagogi Inklusif.
Mengimbas kembali konsep dan prinsip asas pedagogi.
Meningkatkan kesedaran tentang amalan Pedagogi Inklusif dalam kalangan guru.
Memantapkan pengetahuan tentang kepelbagian dalam kalangan murid.
Menguasai kemahiran meraikan kepelbagaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Menjadikan sekolah sebagai sebuah institusi yang meraikan kepelbagaian sosio-budaya murid.